BERITA SEMASA

Istana tidak lindungi penyamar pengawal peribadi sulit Raja Muda Selangor

SHAH ALAM – Pentadbiran Istana Selangor tidak akan melindungi mana-mana pihak yang terbabit dalam kes penyamaran sebagai Pengawal Peribadi Sulit Raja Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah bagi memperdayakan orang ramai untuk mengaut keuntungan peribadi.

Pejabat Sultan Selangor berkata, pihaknya memandang serius kes berkenaan yang dipercayai membabitkan urusan penjualan tanah dan kereta mewah menggunakan kedudukan palsu individu terbabit.

Dalam kenyataan hari ini, Pejabat Sultan Selangor memaklumkan pihaknya mengambil maklum laporan polis yang dibuat berhubung kes berkenaan.

“Pihak pentadbiran istana juga tidak akan melindungi mana-mana pihak yang terlibat dalam kes ini.

“Justeru, menyerahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membuat siasatan menyeluruh dengan adil dan telus,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya membuat semakan dengan Pentadbiran Istana Selangor sekiranya terdapat individu yang mendakwa mempunyai kedudukan atau hubungan dengan istana bagi menjalankan sebarang urusan.

Langkah itu penting bagi memastikan kesahihan identiti serta kedudukan individu berkenaan sebelum orang ramai meneruskan sebarang transaksi atau urusan yang dikemukakan.

Terdahulu, tular di platform media sosial Threads dakwaan seorang lelaki menyamar sebagai Pengawal Peribadi Sulit RMS untuk memperdayakan orang awam menerusi urusan penjualan tanah dan kereta mewah bagi mendapatkan keuntungan peribadi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button