Lelaki curah cecair busuk dalam masjid diburu polis
TUMPAT – Sebuah masjid di Kampung Berangan di sini menjadi mangsa perbuatan khianat seorang individu yang mencurahkan cecair berbau busuk dalam kejadian pagi semalam.
Video yang tular di media sosial menunjukkan kesan cecair bewarna hijau lumpur yang dicurah pada permaidani di ruang sembahyang dan meja ceramah.
Rakaman CCTV masjid menunjukkan seorang lelaki bertopi keledar membawa masuk bekas seperti gelen yang berisi cecair berkenaan.
Video tular juga memaparkan pintu kaca masjid dipecahkan suspek ketika kejadian.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie berkata, pihaknya sedang mengesan seorang lelaki selepas menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 6.35 pagi.
“Maklumat yang diterima daripada orang awam berhubung satu kejadian khianat di Masjid Al-Aziz Al-Hadi, Kota SPP Warisan.
“Pemeriksaan awal mendapati pintu kaca masjid dipecahkan dan terdapat cecair berwarna coklat kehijauan serta berbau kurang menyenangkan dituang pada karpet di ruang solat.
“Semakan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) turut mendapati seorang lelaki dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian itu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mohd Khairi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 427 KK, manakala siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti suspek, motif kejadian serta jumlah kerosakan atau kerugian yang dialami.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








