Lelaki kirim surat berisi daging babi ke masjid dipenjara 15 bulan
SINGAPURA – Seorang lelaki warga Singapura dijatuhi hukuman penjara selama 15 bulan selepas didapati bersalah menghantar surat mengandungi hirisan daging babi ke beberapa masjid sebagai usaha mengganggu seorang wanita yang dikenalinya.
Tertuduh, Bill Tan Keng Hwee, 62, mengaku bersalah atas tiga pertuduhan melakukan perbuatan yang menyinggung perasaan agama terhadap tiga individu beragama Islam, selain satu pertuduhan berkaitan gangguan terhadap wanita terbabit.
Menurut Timbalan Pendakwa Raya, Selene Yap, tindakan lelaki itu boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama di negara berkenaan.
“Tindakan tertuduh mengancam keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama. Mahkamah perlu menghantar mesej jelas bahawa perbuatan sedemikian tidak boleh diterima,” katanya di mahkamah semalam.
Hakim Daerah, Sharmila Sripathy-Shanaz ketika menjatuhkan hukuman berkata, kes berkenaan melibatkan rumah ibadat dan berpotensi mencetuskan ketegangan agama serta mengganggu ketenteraman awam di Singapura.
Berdasarkan dokumen mahkamah, tertuduh dikatakan menyimpan rasa tidak puas hati terhadap seorang wanita yang identitinya dirahsiakan melalui perintah mahkamah.
Pada September tahun lalu, dia didakwa merancang menghantar surat mengandungi hirisan daging babi bersama maklumat peribadi wanita itu ke beberapa masjid dengan harapan pihak masjid akan menghubungi dan mengganggu mangsa.
Untuk tujuan itu, tertuduh membeli daging babi dan menyediakan sendiri surat serta sampul sebelum menghantarnya menerusi pos biasa ke tujuh masjid pada 15 September 2025.
Antara masjid terlibat ialah Masjid Al-Istighfar di Pasir Ris, Masjid Al-Abrar di Telok Ayer Street dan Masjid Ahmad berhampiran South Buona Vista Road.
Pada 19 September 2025, beberapa wakil masjid membuat laporan polis selepas menerima surat berkenaan, manakala wanita terbabit turut membuat laporan selepas dihubungi pihak masjid.
Tertuduh kemudian ditahan polis enam hari selepas laporan dibuat dan direman sehingga prosiding mahkamah selesai.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















