JENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki pulang dari masjid cedera diserang empat individu

KULAI – Seorang lelaki berdepan detik cemas apabila diserang sekumpulan empat individu dalam kejadian berhampiran masjid sementara Bukit Batu di Pusat Komuniti Bukit Batu, di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira jam 9.50 malam.

Menurutnya, mangsa yang merupakan lelaki tempatan berusia 33 tahun ketika itu dalam perjalanan pulang ke rumah dengan menunggang motosikal selepas menunaikan solat di masjid berkenaan.

“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai telah memotong sebuah kereta jenis Proton Saga berwarna kelabu.

“Kenderaan itu kemudiannya bertindak memotong semula mangsa sebelum berhenti secara mengejut di hadapan motosikalnya sehingga memaksa mangsa berhenti secara mendadak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, empat lelaki tidak dikenali yang berada di dalam kereta tersebut kemudian turun sebelum salah seorang daripada mereka memukul kepala mangsa menggunakan sebatang kayu.

Katanya, mangsa yang terjatuh kemudiannya dipijak oleh suspek lain sebelum mereka melarikan kunci motosikal mangsa dan meninggalkan lokasi kejadian.

“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan di kepala dan menerima lima jahitan selain beberapa kecederaan lain pada badan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 279 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan, manakala usaha mengesan semua suspek sedang giat dijalankan.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai atau pegawai penyiasat kes.

Terdahulu, kejadian tersebut tular di media sosial yang mendakwa mangsa diserang sekumpulan individu bertopeng menggunakan objek keras.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button