BERITA SEMASA

Perancang pembunuhan Tupac Shakur dipenjara minimum 40 tahun

LAS VEGAS – Bekas ketua kumpulan samseng, Duane “Keffe D” Davis, dijatuhi hukuman penjara minimum 40 tahun hingga seumur hidup atas pembabitannya dalam pembunuhan penyanyi rap terkenal Amerika Syarikat, Tupac Shakur, pada 1996.

Davis, 63, dijatuhi hukuman oleh Hakim Carli Kierny di mahkamah Las Vegas, Selasa lalu, selepas didapati bersalah atas tuduhan membunuh Tupac pada Ogos lalu.

Tupac, 25, ditembak ketika menaiki sebuah kereta bersama pengasas bersama syarikat rakaman Death Row Records, Marion “Suge” Knight, di Las Vegas pada 7 September 1996.

Penyanyi yang terkenal menerusi lagu California Love itu meninggal dunia di hospital enam hari selepas kejadian.

Pihak pendakwaan berhujah Davis merancang pembunuhan itu sebagai tindakan membalas dendam selepas anak saudaranya dipukul oleh Shakur dan anggota kumpulannya dalam satu pergaduhan di sebuah kasino pada malam kejadian.

Davis didakwa mendapatkan senjata api dan menyerahkannya kepada individu lain di dalam sebuah Cadillac putih yang digunakan untuk menghampiri kenderaan dinaiki Tupac sebelum tembakan dilepaskan.

Bagaimanapun, identiti individu yang melepaskan tembakan maut itu masih belum dipastikan secara muktamad.

Davis merupakan satu-satunya individu yang masih hidup dalam kalangan empat lelaki yang berada di dalam Cadillac berkenaan.

Kes pembunuhan itu kekal tidak selesai selama hampir tiga dekad sebelum Davis ditangkap pada 2023.

Pengakuannya dalam wawancara media dan memoir turut menjadi antara bukti penting pihak pendakwaan.

Davis menafikan tuduhan ketika perbicaraan dan menyatakan hasrat untuk merayu keputusan sabitan serta hukuman terhadapnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button