BERITA SEMASA

Tiga remaja cedera selepas bendera perarakan keagamaan terkena wayar voltan tinggi

ALOR SETAR – Tiupan angin kencang ketika hujan renyai dipercayai menyebabkan bendera yang dibawa seorang peserta Perarakan Tokong Sayur terkena talian elektrik bervoltan tinggi sehingga mengakibatkan tiga remaja lelaki cedera di Mergong, di sini, malam tadi.

Ketiga-tiga mangsa berusia 16 dan 17 tahun itu terjatuh ketika menyertai perarakan yang berlangsung di jalan utama kawasan berkenaan kira-kira pukul 9 malam.

Mereka kemudian dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk mendapatkan rawatan dan ditempatkan di Zon Merah.

Setiausaha Persatuan Tokong Sayur Mergong, Chah Boon Chuan berkata, insiden itu berlaku ketika perarakan tahunan berkenaan memasuki hari keempat.

Menurutnya, perarakan lazimnya bermula pukul 8 malam dan berakhir pukul 11 malam.

“Saya tidak berada di tempat kejadian ketika itu dan hanya mengetahui kejadian selepas dimaklumkan peserta perarakan terbabit,” katanya memetik Buletin TV3.

Beliau berkata, berdasarkan usia mereka, ketiga-tiga mangsa berkemungkinan masih bersekolah.

Bagaimanapun, katanya, beliau belum mengetahui keadaan terkini mangsa kerana mereka masih menerima rawatan dan berada di bawah pemantauan doktor di Zon Merah.

Sementara itu, video kejadian yang tular di media sosial menunjukkan mangsa terbaring di atas jalan sebelum dibantu peserta perarakan lain.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button