Empat cedera selepas bas tahfiz bertembung treler di Maran
MARAN – Empat individu mengalami kecederaan ringan selepas sebuah bas yang membawa 19 pelajar dan dua guru Tahfiz Allauddin terbabit dalam kemalangan dengan sebuah treler di Jalan Besar Jengka 18 di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.15 petang itu, mangsa yang terdiri daripada pemandu dan penumpang bas dilaporkan mengalami luka ringan akibat terkena serpihan kaca.
Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai berkata, kemalangan membabitkan sebuah treler jenis Volvo dan sebuah bas SKS.
Menurutnya, siasatan awal mendapati treler berkenaan sedang dalam perjalanan dari Kampung Awah menuju Bandar Jengka sebelum dipercayai hilang kawalan ketika tiba di lokasi kejadian.
“Treler itu dipercayai terbabas dan memasuki laluan bertentangan selepas pemandunya gagal mengawal kenderaan.
“Pada masa sama, bas yang datang dari arah Bandar Jengka menuju Kampung Awah tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian kiri treler tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, selain empat mangsa yang cedera ringan, semua penumpang lain termasuk dua guru tahfiz tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Pemandu treler juga dilaporkan selamat dan tidak mengalami kecederaan,” katanya lagi.
Menurut Wong, hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu treler yang gagal mengawal kenderaannya sehingga menyebabkan pelanggaran.
“Setakat ini tiada saksi tampil membantu siasatan dan punca sebenar kejadian masih disiasat,” katanya lagi.
Kes disiasat mengikut Kaedah 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








