BERITA SEMASA

Bakat muda Malaysia gegarkan Beijing, sapu lima pingat RobotChallenge Dunia

KUALA LUMPUR – Bakat muda Malaysia mencipta kejayaan membanggakan apabila berjaya membawa pulang lima pingat pada Kejohanan Dunia RobotChallenge Ke-23 yang berlangsung di Beijing, China pada 8 dan 9 Ogos.

Kontigen negara meraih dua pingat emas, satu perak dan dua gangsa menerusi beberapa kategori yang dipertandingkan.

Pertandingan robotik antarabangsa berprestij itu menghimpunkan lebih 5,000 peserta dan peminat robotik dari lebih 40 negara, sekali gus menyediakan pentas kompetitif kepada peserta muda untuk mengetengahkan kemahiran, kreativiti, inovasi serta keupayaan teknikal masing-masing.

robotchallange

Seramai 92 peserta Malaysia menyertai kejohanan berkenaan dalam sembilan kategori, dengan kontinjen negara dianjurkan dan diselaraskan oleh World of Robotics Sdn Bhd, penganjur World of Robotics Championship di Malaysia.

Pingat emas pertama negara diraih menerusi kategori Puck Collector Junior membabitkan Che Raeesa Che Rostami dari SK Taman Melawati 2, Anaqi Azizi Asnur dari SK Putrajaya Presint 16 (2) dan Wan Umar Wan Azlan dari SK Taman Tun Dr Ismail (TTDI) 1.

Malaysia turut meraih emas dalam kategori Robobowling Senior menerusi Cheong Zhen Hao dari SMK Seri Bintang Selatan, Lee Jian Kai dari Tsun Jin High School dan Yap Yu Min dari SMK Taman Seraya.

Bagi kategori Puck Collector Senior, gandingan Elijah Shreyash Nair dari SMK Seri Petaling dan Muhammad Irfan Rizqi Roseaidy dari SMK Seri Hartamas berjaya meraih pingat perak.

Sementara itu, pingat gangsa dalam kategori Puck Collector Junior disumbangkan oleh Cheah Cheng You dan Keith Chan Lee Sean dari SJK (C) Kepong 3 serta Avighna Sivam A/L Sivamayam dari SK Taman Sea.

Pingat gangsa kelima pula diraih dalam kategori Freestyle Junior menerusi Muhammad Raffan Aqhyaar Mohd Nafis dari SK Bukit Rahman Putra dan Nethish Sharmaa Maniyarasan dari Real School Shah Alam Campus.

Kejayaan itu membuktikan bakat muda negara mempunyai keupayaan untuk bersaing dengan peserta dari seluruh dunia, selain menunjukkan potensi besar Malaysia dalam bidang robotik, teknologi dan inovasi.

World of Robotics Championship yang dianjurkan oleh World of Robotics Sdn Bhd di Malaysia sejak 2016 turut menjadi antara platform penting dalam mengenal pasti dan memilih bakat muda bagi mewakili negara di pertandingan robotik antarabangsa.

Kejayaan di Beijing itu adalah hasil dedikasi, ketekunan dan persiapan para peserta, selain sokongan berterusan daripada jurulatih, ibu bapa serta pasukan penganjur.

Daripada peserta junior yang baru melangkah ke pentas antarabangsa sehingga peserta senior yang bersaing dengan pasukan berpengalaman dari seluruh dunia, kontinjen Malaysia membuktikan bakat tempatan mampu tampil yakin dan mencipta kejayaan di peringkat global.

Pencapaian lima pingat itu sekali gus mengharumkan nama Malaysia di pentas robotik antarabangsa serta menjadi pencetus semangat kepada lebih ramai generasi muda untuk menceburi bidang teknologi, robotik dan inovasi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button