Dewan Rakyat bahas laporan RCI Tabung Haji esok
KUALA LUMPUR – Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Lembaga Tabung Haji (TH) yang mendedahkan pelbagai kelemahan tadbir urus serta pengurusan institusi itu bagi tempoh 2014 hingga 2020 akan menjadi tumpuan Dewan Rakyat esok.
Berdasarkan takwim Mesyuarat Khas Penggal Kelima Parlimen Ke-15 yang dimuat naik di portal Parlimen, persidangan khas berkenaan akan berlangsung selama sehari bermula pukul 10 pagi.
Persidangan itu turut disiarkan secara langsung menerusi platform YouTube Parlimen Malaysia dan saluran media rasmi.
Mesyuarat khas akan dimulakan dengan penerangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan mengenai laporan RCI berkenaan, sebelum Ahli Parlimen diberikan ruang mengemukakan pertanyaan dan mengambil bahagian dalam perbahasan.
Perbahasan itu kemudiannya dijangka digulung Zulkifli bersama Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Pada Rabu lalu, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul bersetuju supaya persidangan khas itu diadakan tanpa waktu rehat bagi memastikan Ahli Parlimen mempunyai masa mencukupi untuk membahaskan laporan RCI TH.
Menurut beliau, sekurang-kurangnya 35 hingga 40 Ahli Parlimen telah menyatakan kesediaan untuk menyertai perbahasan tersebut.
Laporan RCI setebal 211 halaman yang didedahkan pada 29 Julai lalu memperincikan pelbagai kelemahan dalam aspek pengurusan dan operasi TH sepanjang tempoh 2014 hingga 2020.
Antara perkara yang dikenal pasti ialah kelemahan tadbir urus, termasuk campur tangan politik dalam pengurusan serta pengagihan keuntungan yang tidak mengambil kira kesan rosot nilai dan penurunan nilai saksama pelaburan.
Laporan itu turut menyatakan TH sepatutnya merekodkan kerugian bersih RM1.4 bilion pada 2017, bukannya keuntungan RM3.4 bilion seperti yang dilaporkan, sekiranya Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS) dilaksanakan sepenuhnya.
Keadaan berkenaan menggambarkan kedudukan kewangan TH pada ketika itu berada pada tahap kritikal, selain berlaku jurang defisit antara aset dan liabiliti sejak 2014 serta beberapa isu berkaitan rosot nilai pelaburan.
RCI turut mengenal pasti beberapa faktor yang menyumbang kepada krisis kewangan TH, antaranya pembayaran hibah yang tinggi, amalan perakaunan kreatif, ketidaktegasan Ketua Audit Negara, penambahan visi TH sebagai tonggak ekonomi ummah serta peningkatan tanggungan Bantuan Kewangan Haji (HAFIS).
Selain itu, RCI mendapati terdapat transaksi mencurigakan serta penyembunyian maklumat.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sebelum ini menitahkan supaya siasatan berkaitan Laporan RCI mengenai TH dijalankan sehingga ke ‘lubang cacing’ dan pihak yang bertanggungjawab dikenakan tindakan sewajarnya, selain memastikan kejadian sama tidak berulang pada masa akan datang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








