BERITA SEMASA

JAKIM beri teguran, nasihat isu dikaitkan New Age Movement

PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah memberi beberapa teguran, nasihat dan panduan berhubung kandungan serta pendekatan program yang dikaitkan dengan unsur New Age Movement (NAM).

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, perkara itu diberi perhatian serius dan melalui proses siasatan menyeluruh berdasarkan disiplin ilmu dengan penglibatan autoriti yang bersesuaian.

Menurutnya, sesi pertemuan dan tabayyun turut diadakan bersama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bagi mendapatkan penjelasan secara langsung berhubung perkara yang dibangkitkan.

“Sesi tersebut turut melibatkan SS Mufti Wilayah Persekutuan, Panel Pakar Akidah (PPA) JAKIM serta pihak berkaitan bagi memastikan perkara tersebut diteliti dari sudut disiplin akidah, autoriti agama dan latar pemikiran NAM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, antara perkara yang diberi perhatian termasuk kandungan dan pengisian program yang telah dijalankan, selain pendekatan yang digunakan serta implikasinya terhadap agama dan akidah.

“Penekanan turut diberikan supaya sebarang kandungan atau pendekatan yang boleh menimbulkan kekeliruan terhadap akidah diperbetulkan dan dimurnikan.

“Pengisian berkaitan agama hendaklah sentiasa berasaskan disiplin ilmu Islam dan pandangan pihak berautoriti,” katanya lagi.

Dalam pada itu, JAKIM berpendirian untuk menolak sebarang ajaran, fahaman, amalan atau pendekatan yang bertentangan dengan syarak dan prinsip akidah Islam.

JAKIM turut mengambil perhatian terhadap persoalan yang dibangkitkan masyarakat, termasuk menerusi halaman Facebook atas nama Masyitah Ashari, berhubung isu NAM yang turut dikaitkan dengan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Pada masa sama, JAKIM menyeru masyarakat supaya tidak membuat kesimpulan berdasarkan bahan yang beredar tanpa pengesahan atau di luar konteks.

“JAKIM akan terus melaksanakan amanah memelihara kesucian akidah umat Islam secara tegas, berhemah dan berasaskan ilmu serta autoriti agama,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button