BERITA SEMASA

Kandungan drama Madu atau Racun, Cela dinilai panel JAKIM

PUTRAJAYA – Kandungan dua drama bersiri yang mencetuskan kontroversi, Madu atau Racun dan Cela, akan diteliti panel di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) susulan perbincangan bersama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

FINAS dalam kenyataannya memaklumkan penilaian itu akan merangkumi keseluruhan jalan cerita serta konteks kandungan kedua-dua drama berkenaan berdasarkan garis panduan yang ditetapkan.

Selain penilaian kandungan, JAKIM dan FINAS turut merancang mengadakan sesi libat urus bersama pemain industri filem dan televisyen (TV) dengan penyertaan agensi berkaitan.

Sesi berkenaan bertujuan membincangkan tatacara serta garis panduan penerbitan kandungan supaya penggiat industri mempunyai kefahaman yang lebih jelas mengenai perkara yang perlu diberi perhatian dalam menghasilkan karya.

“JAKIM dan FINAS bersama agensi berkaitan akan mengadakan sesi libat urus dengan pemain industri filem dan televisyen (TV) bagi membincangkan tatacara serta garis panduan penerbitan kandungan,” kata kenyataan itu.

Dalam perkembangan sama, FINAS akan menambah syarat tertentu dalam Sijil Perakuan Penggambaran (SPP) bagi memastikan produksi yang dijalankan mematuhi garis panduan serta tidak mendatangkan kesan buruk kepada masyarakat.

FINAS menegaskan langkah berkenaan bukan bertujuan menyekat kebebasan berkarya, sebaliknya mencari keseimbangan antara kreativiti dengan tanggungjawab dalam penerbitan kandungan, termasuk mengambil kira sensitiviti agama, nilai budaya, kepentingan masyarakat dan undang-undang negara.

Madu atau Racun dan Cela sebelum ini menjadi perhatian selepas beberapa adegan dalam kedua-dua episod drama terbabit didakwa menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat.

FINAS sebelum ini mengarahkan kesemua 12 episod terbitan Metrowealth International Group (MIG) itu menjalani proses suntingan sebelum dikemukakan kepada panel penilai untuk penelitian lanjut.

Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib turut dilaporkan berkata enam episod yang telah ditayangkan menerusi platform penstriman iQIYI perlu diturunkan sementara sehingga proses suntingan selesai dan keputusan rasmi dibuat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button