BERITA SEMASA

Malaysia terus amal dasar berkecuali, bukan ‘bidak catur’ mana-mana pihak

DOHA – Malaysia akan terus mengamalkan dasar berkecuali dalam hubungan antarabangsa termasuk menjalinkan hubungan perdagangan dan persahabatan dengan mana-mana negara, tanpa menjadi ‘bidak catur’ kepada mana-mana pihak.

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, pendirian itu mencerminkan pendekatan Malaysia sebagai sebuah negara neutral yang terbuka, lapor Berita RTM.

“Malaysia sebuah negara berkecuali. Kita akan berdagang dengan mana-mana negara yang mahu berdagang dengan kita dan berkawan dengan sesiapa sahaja yang mahu berkawan dengan kita. Kita tidak akan menjadi bidak catur kepada mana-mana pihak,” kata Fahmi ketika berucap pada majlis makan tengah hari bersama diaspora Malaysia, di sini.

Agenda lawatan kerja Fahmi di Qatar turut merangkumi pertemuan bersama diaspora Malaysia menerusi majlis makan tengah hari yang menghimpunkan wakil Malaysia Association in Qatar (MAQ), Malaysian Business Executive Council-Qatar (MBEC), komuniti serta persatuan pelajar Malaysia di negara berkenaan.

Pertemuan itu menjadi platform interaksi beliau selaku Jurucakap Kerajaan MADANI, dengan rakyat Malaysia yang menetap, bekerja, menjalankan perniagaan dan melanjutkan pengajian di Qatar.

Beliau turut menghadiri perasmian pertandingan boling bersempena Sukan Malaysia di Qatar (SUQMA) 2026.

Pada sebelah petang, Fahmi dijadual mengadakan sesi libat urus bersama wakil pengendali rangkaian mudah alih (MNO) serta mesyuarat pra-majlis bersama delegasi Malaysia sebagai persediaan menghadapi Persidangan Plenipotensiari Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa 2026 (ITU PP-26).

Beliau diiringi Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi) Mano Verabathran, manakala delegasi Malaysia turut disertai wakil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta syarikat telekomunikasi tempatan, termasuk Telekom Malaysia (TM), CelcomDigi, Maxis dan U Mobile.

Fahmi mengetuai delegasi Malaysia ke ITU PP-26 yang berlangsung dari 6 hingga 11 November ini, dengan misi mempertahankan kerusi Majlis ITU bagi penggal 2027 hingga 2030.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button