BISNES & EKONOMI

Idealyst sasar perkukuh kedudukan dalam industri estetik menerusi teknologi baharu

KUALA LUMPUR – Pengalaman lebih 12 tahun dalam industri perubatan estetik mendorong Idealyst terus meneroka rawatan dan teknologi baharu bagi memastikan perkhidmatan ditawarkan kekal relevan serta memenuhi keperluan pelanggan.

Pengasas Bersamanya, Dr Aidil Azry Mokhtar berkata, usaha memperkenalkan kelainan dalam perkhidmatan menjadi antara komitmen syarikat untuk menghargai kepercayaan dan kesetiaan pelanggan yang menyokong perniagaan itu sejak mula beroperasi pada 2014.

Menurutnya, Idealyst juga berhasrat menarik lebih ramai tenaga kerja dalam kalangan anak muda untuk menyertai industri berkenaan, sekali gus membantu merangsang pertumbuhan ekonomi negara.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada para pelanggan kami yang luar biasa atas sokongan mereka sepanjang 12 tahun yang lalu kerana tanpa mereka, kami mungkin tidak berada sehingga kini.

“Kami ingin membuktikan komitmen pihaknya untuk menjadi peneraju dalam industri estetik dan kosmetik di negara ini melalui rangkaian pusat premium sekali gus berjaya membawa jenama Idealyst sebagai satu imej bumiputera dalam perubatan estetik terkemuka yang terbaik di Malaysia.

“Tidak lupa juga kepada pasukan yang hebat kerana telah membawa syarikat ke tahap pencapaian penting ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Penghargaan Idealyst yang berlangsung di sebuah hotel, baru-baru ini.

Majlis itu turut dihadiri duta Idealyst yang juga penghibur terkenal, Datuk Zainal Abidin.

Pada majlis berkenaan, seramai 100 pelanggan setia serta kakitangan diraikan menerusi tiga kategori penghargaan, termasuk pelanggan yang paling banyak berbelanja dan pekerja yang telah lama berkhidmat dengan klinik berkenaan.

Mengulas lanjut, Dr Aidil Azry berkata, penganjuran majlis itu juga bertujuan memperkenalkan perkhidmatan Idealyst kepada lebih ramai pelanggan baharu, selain membuka ruang untuk menawarkan lebih banyak pilihan rawatan dengan teknologi terkini.

“Jika disebut mengenai perubatan estetik, ia memberi pengertian seseorang itu mahu mendapatkan rawatan sama ada untuk wajah atau tubuh supaya lebih cantik dan menyerlah.

“Jadi saya perlu berusaha keras untuk membantu setiap pelanggan mendapatkan apa yang dimahukan kerana penampilan diri akan mempengaruhi perasaan dan bagaimana prestasi dalam pekerjaan dan kehidupan sosial selain berinteraksi dengan orang lain.

“Oleh itu, sebarang penambahbaikan tidak kira sekecil mana pun, berpotensi meningkatkan keyakinan diri kita,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan bahawa rawatan ditawarkan Idealyst adalah pada harga mampu milik untuk semua golongan.

Sementara itu, Zainal berkata, beliau bersyukur kerana diberi kepercayaan sebagai duta rasmi Idealyst sejak dua tahun lalu dan berpuas hati dengan hasil rawatan antipenuaan yang dijalani, merangkumi aspek luaran serta dalaman.

“Saya kini tidak teragak-agak untuk terus bersama Idealyst kerana melihat konsep bisnes yang tidak menekan dan memaksa pelanggan dalam membeli pakej rawatan tetapi lebih kepada merancang untuk proses perubatan estetik jangka panjang bagi setiap pelanggan,” katanya.

Sebelum ini, Idealyst menerima Anugerah Pencapaian Terbaik NCTF 2025, membabitkan jenama produk penjagaan kulit antarabangsa popular yang dibangunkan di Perancis.

NCTF merupakan produk antipenuaan yang mengandungi 60 nutrien bagi membantu meningkatkan kesihatan sel kulit.

Idealyst diasaskan oleh Dr Aidil Azry bersama Dr Fadzlina Mohtar dan mula beroperasi pada 2014. Klinik berkenaan kini mempunyai tiga cawangan di seluruh negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button