DPIM Putrajaya perkenal peluang bisnes ayam gunting modal serendah RM3,500, sasar 50 usahawan
KLANG – Model perniagaan makanan berkonsepkan kos rendah tetapi menawarkan margin keuntungan tinggi dilihat berpotensi menjadi platform terbaik kepada usahawan mikro untuk menembusi sektor makanan dan minuman (F&B) yang semakin berkembang.
Menyedari potensi itu, Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) Putrajaya dengan kerjasama Golden Bons Express yang juga pembekal makanan sejuk beku menganjurkan Program Taklimat Peluang Bisnes Ayam Gunting di sini hari ini.
Pengerusi DPIM Putrajaya, Datuk Seri Muhammad Khanafi Husin berkata, program tersebut dianjurkan bagi memberi pendedahan kepada usahawan mengenai kaedah memulakan perniagaan ayam gunting secara komersial dengan modal yang lebih rendah serta mudah diusahakan.
Menurut beliau, pakej ditawarkan adalah hasil kerjasama DPIM Putrajaya bersama Golden Bons Express bernilai RM3,500 merangkumi kiosk, stok, peralatan lengkap serta latihan dan pemasaran kepada peserta.
“Pakej yang diberikan oleh syarikat ini hasil kerjasama antara DPIM Putrajaya dan Golden Bons. Pakej bernilai RM3,500 dah siapkan semuanya termasuk kiosk, stok dan peralatan lengkap.
“Peserta juga diberikan latihan serta pemasaran sebelum memulakan perniagaan,” katanya kepada pemberita selepas program tersebut di Golden Bons, Taman Botanic di sini hari ini.

Turut hadir dalam program itu ialah Chef Andy selaku penceramah dan pengasas Golden Bons Express yang juga pembekal makanan sejuk beku.
Baca juga : MoU DPIM Putrajaya dan BeanSE: Usahawan PKS bakal terima manfaat besar
@malaysiatribune Program Taklimat Peluang Bisnes Ayam Gunting anjuran DPIM Putrajaya di Klang hari ini memberi pendedahan tentang teknik memasak serta peluang perniagaan berasaskan F&B. Bagi yang berminat untuk menyertai program atau mendapatkan maklumat lanjut, boleh menghubungi 012-9111562. #malaysiatribune
Mengulas lanjut, Muhammad Khanafi berkata, pendekatan itu diperkenalkan bagi membantu usahawan Muslim memulakan perniagaan tanpa perlu memikirkan soal penyediaan bahan, pemasaran dan operasi yang rumit.
Katanya, usahawan hanya perlu mencari lokasi strategik seperti pasar malam, tepi jalan, acara atau premis sewaan untuk menjalankan perniagaan.
“Pulangan pelaburan (ROI) dia dalam tempoh sebulan atau dua bulan dah boleh dapat balik modal. Itu antara sebab DPIM Putrajaya menganjurkan program ini supaya beri peluang kepada usahawan berniaga dengan cepat dengan keuntungan yang lumayan,” ujarnya.
Muhammad Khanafi berkata, industri makanan berasaskan ayam sentiasa berkembang memandangkan permintaan pengguna di negara ini kekal tinggi.
Menurut beliau, konsep ayam gunting juga lebih mudah dikendalikan kerana produk disediakan dalam keadaan siap diperap dan hanya perlu digoreng sebelum dijual kepada pelanggan.
“Kalau nak buka restoran, modal besar. Jadi konsep ini sesuai untuk golongan mikro SME sebab lebih mudah,” katanya sambil menambah lima menu utama ditawarkan termasuk ayam gunting, popcorn chicken, sate ayam, fillet dan sosej.

Muhammad Khanafi berkata, pihakya menyasarkan seramai 50 usahawan kecil menyertai perniagaan ayam gunting di sekitar Lembah Klang, manakala sesi taklimat akan diadakan setiap bulan dengan penyertaan dihadkan kepada 30 peserta bagi memudahkan penerangan diberikan secara lebih teratur.
Mengulas mengenai pembiayaan, beliau berkata, peserta perlu mencari modal sendiri kerana pihaknya tidak menyediakan pinjaman atau kerjasama dengan institusi kewangan.
“Pakej RM3,500 untuk mula berniaga bagi saya murah berbanding pakej lain yang mencecah puluhan ribu ringgit.
“Kalau tak ada duit, cubalah kumpul atau buat secara berkumoulan bersama rakan-rakan untuk mulakan perniagaan,” katanya.
Beliau berkata, margin keuntungan perniagaan itu juga tinggi apabila kos modal bagi sekeping ayam sekitar RM4 dengan cadangan harga jualan RM10.
“Maknanya keuntungan boleh cecah 60 peratus. Dalam bisnes, bila margin 60 peratus, itu tinggi,” katanya.
Bagi yang berminat untuk menyertai program atau mendapatkan maklumat lanjut, boleh menghubungi 012-9111562.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








