JAM ganding Scha, Awal tembusi pasaran Melayu, sasar penstriman langsung premium di Asia Tenggara
KUALA LUMPUR – Syarikat e-dagang penstriman langsung (live commerce), JAM, memperluaskan operasi ke pasaran pengguna Melayu menerusi pelancaran segmen baharu, JAM Bahasa, dengan menggandingkan pasangan selebriti Scha Alyahya dan Awal Ashaari sebagai pengasas bersama bagi memacu pertumbuhan syarikat di peringkat serantau.
Langkah itu disifatkan sebagai strategi terbesar syarikat tahun ini apabila buat pertama kalinya JAM keluar daripada pasaran berbahasa Cina untuk menembusi komuniti pengguna terbesar di negara ini, sekali gus membuka laluan kepada peluasan operasi ke Asia Tenggara bermula tahun depan.
Pengasas Bersama dan Pengarah Urusan JAM, Cherine Fong berkata, kerjasama dengan Scha dan Awal bukan sekadar pelantikan duta jenama, sebaliknya mereka turut memainkan peranan sebagai rakan strategik dalam membentuk hala tuju syarikat.
“Komuniti Melayu merupakan kuasa beli terbesar di Malaysia, namun segmen e-dagang penstriman langsung premium masih belum diteroka sepenuhnya.
“Kami mahu mengadaptasi formula kejayaan dalam segmen KOL berbahasa Cina dengan pendekatan yang dilokalisasikan untuk pasaran Melayu. Jika ia berjaya, model ini berpotensi dikembangkan ke negara lain,” katanya pada majlis pelancaran JAM Bahasa dan studio produksi baharu di sini semalam.

Ditubuhkan pada April 2024, JAM merekodkan pertumbuhan perniagaan tiga kali ganda pada tahun kedua operasinya dengan Nilai Barangan Kasar (GMV) mencecah RM3.5 juta pada tahun pertama.
Syarikat itu kini mengendalikan kira-kira 10 pempengaruh (KOL), disokong 20 kakitangan sepenuh masa serta menghasilkan lebih 300 jam kandungan penstriman langsung setiap bulan di platform e-dagang.
Sementara itu, Scha berkata, e-dagang penstriman langsung kini menjadi saluran runcit yang semakin penting kerana pengguna mahukan pengalaman membeli-belah yang lebih interaktif dan autentik.
“Sebagai pengasas bersama, saya bukan sekadar mewakili jenama tetapi turut terlibat dalam mencorakkan hala tuju syarikat. Matlamat kami adalah membina platform yang dipercayai serta memberi nilai kepada pengguna dan jenama tempatan,” katanya.
Bagi menyokong pertumbuhan operasi, JAM turut membuka studio produksi penstriman langsung seluas 6,500 kaki persegi yang dilengkapi 13 bilik produksi bagi menyediakan perkhidmatan menyeluruh termasuk pembangunan kandungan, latihan hos, produksi dan pengurusan jualan.
Dalam perancangan seterusnya, syarikat itu menyasarkan untuk memasuki pasaran Asia Tenggara termasuk Thailand pada suku pertama 2027, dengan memberi tumpuan kepada pembangunan ekosistem e-dagang penstriman langsung premium.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








