BISNES & EKONOMI

Mah Sing sasar profesional muda, buka peluang pemilikan rumah di Setapak

KUALA LUMPUR – Dengan kira-kira 80 peratus minat jualan awal datang daripada komuniti Melayu, Mah Sing Group Berhad (Mah Sing) menyasarkan pasaran keluarga Melayu dan profesional muda menerusi pembangunan kediaman baharu M Azura di Setapak.

Projek apartmen servis dua menara itu ditawarkan pada harga permulaan RM381,000, sekali gus memberi pilihan pemilikan rumah di kawasan matang yang mempunyai kemudahan bandar, jaringan pengangkutan serta infrastruktur mesra keluarga.

M Azura dibangunkan menerusi anak syarikat milik penuh Mah Sing, M Azura Sdn Bhd, bagi memenuhi permintaan berterusan terhadap kediaman berkualiti dalam kalangan pembeli yang mencari keseimbangan antara kemampuan memiliki rumah dan keselesaan kehidupan keluarga.

Mah Sing berkata, Setapak dipilih sebagai lokasi strategik berikutan kedudukannya sebagai antara kawasan kediaman matang di koridor utara Kuala Lumpur yang disokong oleh kemudahan kejiranan, institusi komuniti, masjid serta pilihan makanan halal.

“Komposisi pembeli di kawasan itu secara tradisinya didominasi komuniti Melayu, manakala kekurangan penawaran baharu yang setanding pada julat harga permulaan RM381,000 turut menjadi antara faktor yang mendorong permintaan terhadap M Azura,” katanya dalam kenyataan.

Terletak di atas tapak komersial pegangan pajakan seluas 4.036 ekar di Jalan 26/26, Mukim Setapak, pembangunan berkenaan terdiri daripada dua menara setinggi 40 tingkat dengan keseluruhan 1,140 unit.

M Azura menawarkan tiga konfigurasi kediaman bagi memenuhi keperluan isi rumah berbeza iaitu Jenis A berkeluasan 700 kaki persegi dengan dua bilik tidur dan dua bilik air; Jenis B berkeluasan 850 kaki persegi dengan tiga bilik tidur serta dua bilik air bersama balkoni dan Jenis C berkeluasan 1,000 kaki persegi dengan empat bilik tidur serta dua bilik air bersama balkoni.

Menurut Mah Sing, unit Jenis A khususnya direka bagi memenuhi keperluan pembeli rumah pertama, pasangan muda serta keluarga kecil yang mengutamakan susun atur praktikal dengan harga lebih berpatutan.

“Selain pilihan menghadap pemandangan kolam renang atau bandar, setiap unit turut dilengkapi satu hingga dua petak parkir, manakala pembangunan itu memperoleh Pensijilan Sementara GreenRE Perak serta tertakluk kepada penilaian kualiti QLASSIC.

“Bagi memenuhi gaya hidup keluarga moden, keseluruhan Aras 6 dikhususkan sebagai kawasan kemudahan penduduk dengan pelbagai tarikan termasuk kolam renang sepanjang 50 meter, kolam kanak-kanak, zon permainan air dan jakuzi,” tambahnya.

mah sing
M Azura menawarkan pilihan unit dengan dua hingga empat bilik tidur yang direka untuk memenuhi keperluan pasangan muda, keluarga kecil sehingga keluarga besar.

Kemudahan komuniti turut merangkumi Grand Event and Play Lawn, Pavilion, Teres BBQ serta Camping Enclave yang direka bagi menyokong aktiviti keluarga dan interaksi komuniti.

Selain itu, M Azura menyediakan ruang kerja bersama, bilik bacaan dan studio yoga bagi memenuhi keperluan penduduk yang bekerja dari rumah, selain ruang makan peribadi dan dewan serbaguna untuk kegunaan komuniti.

Kemudahan rekreasi lain termasuk taman herba, laluan refleksologi, laluan taman, trek berbasikal khas serta taman permainan kanak-kanak.

Dari aspek keselamatan, pembangunan itu dilengkapi sistem keselamatan berlapis termasuk kamera litar tertutup (CCTV) perimeter, kawalan pengawal keselamatan 24 jam, akses lobi lif khas untuk penduduk serta akses lif terhad mengikut aras.

M Azura turut menggunakan platform komuniti pintar MY Mah Sing yang membolehkan penduduk mengurus tempahan kemudahan, akses pelawat, permit pengubahsuaian serta komunikasi dengan pihak pengurusan bangunan secara digital.

Kemudahan teknologi lain yang disediakan termasuk stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV) dan sistem kutipan sisa automatik sebagai sebahagian daripada infrastruktur pembangunan kediaman mampan.

Dari segi kesalinghubungan, M Azura terletak kira-kira 8 kilometer dari Suria KLCC dengan akses menerusi Lebuhraya DUKE, MRR2, SPE, SUKE dan Lebuhraya Karak.

Penduduk turut mempunyai akses kepada tiga stesen Transit Aliran Ringan (LRT) iaitu Sri Rampai, Wangsa Maju dan Setiawangsa bagi memudahkan pergerakan harian.

Kemudahan berhampiran termasuk Wangsa Walk Mall, Setapak Central dan AEON Big Wangsa Maju bagi keperluan runcit, selain Universiti Teknologi Malaysia (UTM KL), Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology (TAR UMT), Hospital Columbia Asia serta Hospital Pakar KPJ Tawakkal KL.

Kehadiran pelbagai sekolah kebangsaan dan swasta di kawasan sekitar turut menjadi nilai tambah kepada keluarga yang mempunyai anak bersekolah.

Sementara itu, Mah Sing berkata, orang ramai yang berminat mendapatkan maklumat lanjut mengenai M Azura boleh mengunjungi galeri jualan projek berkenaan atau menghubungi talian 03-9078 2899 serta e-mel m-azura@mahsing.com.my.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button