POLITIK

Pembatalan pendaftaran PN peringatan kepada pemimpin parti gabungan – Muhyiddin

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan pembatalan pendaftaran Perikatan Nasional (PN) sebagai satu peringatan kepada pemimpin parti gabungan supaya berlaku adil terhadap semua parti anggota dan mematuhi perlembagaan parti serta Akta Pertubuhan 1966.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu berkata, sebagai pengasas PN, beliau berduka dengan keputusan pembatalan pendaftaran gabungan berkenaan hari ini.

“Namun, keputusan ini adalah suatu peringatan kepada mana-mana pihak yang memimpin sebuah parti gabungan supaya bertindak adil terhadap semua parti anggota dan hendaklah sentiasa mematuhi perlembagaan parti dan Akta Pertubuhan 1966,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) mengesahkan membatalkan pendaftaran PN selepas mendapati penjelasan dikemukakan gabungan itu gagal menyangkal asas pembatalan yang dinyatakan dalam notis terdahulu.

Menurut RoS, keputusan itu dibuat di bawah sub perenggan 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) selepas meneliti keseluruhan dokumen dan representasi dikemukakan PN pada 12 Oktober lalu.

Mengulas lanjut, Muhyiddin turut mengingatkan supaya kuasa dan kedudukan dalam parti gabungan tidak disalahgunakan demi kepentingan parti atau kelompok tertentu.

Menurutnya, tindakan sedemikian boleh menyebabkan parti gabungan tergelincir daripada tujuan dan matlamat asal penubuhannya.

Muhyiddin berkata, beliau akan membincangkan langkah seterusnya bersama pimpinan BERSATU dalam Mesyuarat Biro Politik Khas malam ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button