BERITA SEMASAPOLITIK

Ronald Kiandee persoal keputusan gantung keahlian

KUALA LUMPUR – Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee mempersoalkan keputusan menggantung keahliannya dalam parti itu dengan menyifatkan tindakan itu menimbulkan persepsi bahawa Lembaga Disiplin digunakan sebagai alat politik.

Menurut Ronald, sekiranya tindakan yang diambil terhadapnya benar-benar melibatkan kesalahan besar, beliau sepatutnya dipecat dan bukannya sekadar digantung.

“Jika benar saya melakukan kesalahan besar, pecat sahaja. Mengapa sekadar digantung?” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Terdahulu, Ronald digantung keahlian parti selama dua penggal berkuat kuasa hari ini selepas kerana melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan dan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.

Menurut Ronald, beliau sebelum ini menganjurkan Program ‘Reset’ selain turut hadir bersama Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Bangkok.

Mengulas lanjut, Ronald berkata, keputusan tersebut sekali gus menguatkan persepsi bahawa Lembaga Disiplin parti kini digunakan sebagai alat politik untuk melindungi presiden serta kelompok kecil di sekelilingnya.

Tambah beliau, keadaan itu lebih menimbulkan persoalan apabila lembaga berkenaan dipengerusikan oleh individu yang mempunyai hubungan keluarga dengan kepimpinan tertinggi parti.

Menurutnya lagi, sejak dua tahun kebelakangan ini hala tuju parti dilihat semakin tersasar apabila tindakan yang diambil seolah-olah tertumpu kepada satu matlamat iaitu mengangkat Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai ‘poster boy’ dan calon Perdana Menteri ke-11.

“Mana-mana pihak yang dilihat berpotensi menjadi penghalang kepada agenda ini akan disingkirkan, manakala Lembaga Disiplin dijadikan alat paling ampuh untuk melaksanakan tindakan tersebut.

“Inilah juga yang berlaku terhadap beberapa pemimpin parti sebelum ini termasuk Datuk Seri Hamzah Zainudin,” katanya.

Menurut Ronald, keadaan itu akhirnya menyebabkan hanya mereka yang sentiasa menyokong presiden kekal dalam parti.

Beliau mendakwa kewujudan kumpulan yang sentiasa menyokong presiden itu berpunca daripada sebahagian daripada mereka dilantik oleh presiden, selain ada yang kalah dalam pemilihan tetapi dimenangkan oleh presiden serta ada yang dijanjikan watikah sebagai calon.

Katanya, beliau menyertai parti itu sebelum ini kerana percaya ia merupakan wadah perjuangan, bukannya alat untuk memenuhi cita-cita politik individu.

“Namun apa yang kita lihat hari ini amat jauh daripada semangat tersebut.

“Saya tidak akan merayu. Anggap sahaja tempoh rayuan ini telah tamat,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button