BERITA SEMASAPOLITIK

Afdlin Shauki jawab sindiran Rafizi: ‘Saya tidak malu gelaran pelawak’

 

KUALA LUMPUR – Ketua Cabang KEADILAN Setiawangsa, Datuk Afdlin Shauki hari ini tampil memberikan respons terhadap kenyataan terbuka Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli yang secara berseloroh menyebut beliau sebagai “pelawak profesional”.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, Afdlin menzahirkan penghormatan terhadap Rafizi sebagai tokoh strategik dan reformis yang banyak berjasa kepada perjuangan parti.

Namun, beliau turut meluahkan rasa kesal terhadap kenyataan yang dianggap boleh menjejaskan persepsi terhadap mandat yang diperoleh daripada akar umbi.

“Saya tidak malu digelar pelawak. Ia sebahagian daripada identiti saya sebagai anak seni, pengarah, penulis, penerbit dan aktivis. Tetapi apabila label itu digunakan dalam konteks mempertikai kelayakan dan mandat saya, ia membawa maksud berbeza,” tegas Afdlin.

Tambah beliau, sumbangannya dalam dunia seni selama lebih tiga dekad bukan sekadar hiburan, malah membentuk jiwa masyarakat dan menyuarakan kebenaran dalam bentuk yang jujur.

Beliau menegaskan bahawa penglibatannya dalam politik bermula bukan ketika parti berada di puncak kuasa, tetapi sewaktu PKR berhadapan kekalahan selepas episod hitam Langkah Sheraton.

“Saya tidak datang ketika peluang terbuka luas. Saya hadir ketika parti luka dan ramai menjauh. Saya memilih untuk berjuang walau dari gelanggang asing — dunia seni,” katanya.

Afdlin turut membidas tanggapan bahawa kemenangannya adalah bersifat peribadi. Sebaliknya, beliau menegaskan bahawa seluruh barisan kepimpinan Cabang Setiawangsa turut memperoleh mandat, membuktikan bahawa ahli akar umbi mahukan perubahan serta kepimpinan yang berjiwa rakyat.

“Ini bukan kemenangan saya semata-mata, ini suara kolektif yang menuntut nafas baharu. Politik tanpa kemanusiaan hanyalah pengurusan kuasa yang kering,” ujar beliau.

Mengulas lanjut, Afdlin menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan semua pihak termasuk Rafizi demi memperkukuh parti, namun menegaskan bahawa beliau tidak akan berdiam diri jika integriti dan suara akar umbi cuba diperkecilkan.

“Jika benar kita mahu KEADILAN terus relevan, maka raikanlah perbezaan, bukan memperlekehkannya. Parti ini mesti dilihat sebagai rumah perjuangan yang terbuka kepada semua latar belakang, termasuk golongan seni dan profesional,” katanya lagi.

Afdlin turut menzahirkan komitmen untuk terus berjuang membawa nilai kemanusiaan dalam politik, dan menjadi jambatan antara dunia seni dengan pentadbiran yang lebih prihatin terhadap denyut nadi rakyat.

“Saya hadir bukan untuk glamor, tetapi untuk menyumbang. Saya pelawak, tetapi bukan mainan politik,” akhirinya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button