LTdL di bawah KBS selama tiga tahun, kos RM12 juta tahun ini – Taufiq
PUTRAJAYA – Penganjuran Le Tour de Langkawi (LTdL) akan diletakkan di bawah Kementerian Belia dan Sukan Malaysia sebagai peneraju program bagi tempoh tiga tahun selepas mendapat kelulusan Jemaah Menteri.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohd Taufiq Johari berkata, keputusan itu dibuat selepas kertas cadangan dibentangkan kepada Kabinet pada 8 April lalu.
Menurutnya, langkah tersebut diambil bagi memperkukuh pengurusan serta memastikan penganjuran LTdL dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun dan berimpak tinggi.
“LTdL juga telah mendapat pengiktirafan di peringkat global sebagai antara penganjuran terbaik dunia oleh Union Cycliste Internationale.
“Ini memberikan keyakinan kepada kita bahawa acara ini mampu dilaksanakan dengan baik di bawah seliaan KBS,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, bagi penganjuran tahun ini, kerajaan memperuntukkan kos sebanyak RM12 juta yang akan menggunakan dana sedia ada termasuk daripada Kumpulan Wang Amanah Sukan Negara.
Dalam masa sama, usaha untuk mendapatkan penajaan daripada pihak swasta turut dipergiatkan bagi menampung keperluan penganjuran.
“Kita sedang giat melaksanakan usaha mendapatkan lebih banyak penajaan bagi memastikan LTdL terus kekal sebagai acara berprestij di peringkat antarabangsa,” katanya lagi.
Beliau turut berkata, penganjuran LTdL bukan sahaja memberi impak kepada pembangunan sukan berbasikal, malah membantu mengangkat imej Malaysia di pentas dunia.
“Sokongan berterusan daripada kerajaan dan sektor swasta amat penting bagi memastikan acara tersebut terus relevan dan berdaya saing.
“Kerajaan optimis LTdL akan terus menjadi antara acara berbasikal terkemuka dunia dengan pengurusan lebih sistematik di bawah KBS serta sokongan pelbagai pihak,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |









One Comment