RCI Tabung Haji: AMK mahu siasatan menyeluruh, tanpa kompromi
KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa siasatan berhubung dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji (TH) dilakukan secara menyeluruh, telus dan tanpa kompromi.
Naib Ketua AMK, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, gesaan itu selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim agar pihak penguat kuasa menjejaki pihak yang bertanggungjawab sehingga ke akar umbi.
Menurutnya, AMK menyambut baik titah Seri Paduka Baginda selain menggesa tiga isu utama yang dibangkitkan dalam laporan RCI diberi perhatian segera.
“Tiga isu paling kritikal ialah kelemahan tadbir urus dan campur tangan politik, kelemahan pelaporan kewangan serta pengiktirafan kerugian dan agihan hibah yang tidak selari dengan kedudukan kewangan sebenar.
“RCI mengenal pasti kelemahan serius dalam tadbir urus TH termasuk struktur pelantikan Lembaga yang tidak menetapkan syarat kelayakan dan kepakaran mencukupi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, RCI turut merekodkan penglibatan ahli politik dalam kedudukan kanan TH serta pengaruh pertimbangan politik dalam beberapa keputusan penting institusi berkenaan.
“Perkara itu menimbulkan persoalan terhadap tahap kebebasan, profesionalisme dan kebertanggungjawaban pengurusan TH yang menguruskan simpanan jutaan umat Islam,” katanya lagi.
Taufiq berkata, isu pelaporan kewangan turut perlu diberikan perhatian selepas RCI mendedahkan persoalan berkaitan pengiktirafan kerugian dan kemerosotan nilai pelaburan.
“Sebagai contoh, bagi 2017, TH melaporkan keuntungan sekitar RM3.4 bilion, sedangkan selepas mengambil kira pelarasan yang dinyatakan RCI, kedudukan sebenar menunjukkan kerugian bersih sekitar RM1.4 bilion.
“Jurang besar ini menimbulkan persoalan terhadap ketepatan gambaran kewangan yang menjadi asas kepada keputusan pengurusan dan agihan hibah,” katanya lagi.
Menurutnya, RCI turut mendapati keputusan membayar hibah pada kadar tinggi dalam tempoh tertentu dibuat ketika kedudukan kewangan TH berada di bawah tekanan sehingga menyebabkan penghakisan rizab.
Jelasnya, pulangan kepada pendeposit seharusnya disokong prestasi pendapatan dan kedudukan aset sebenar institusi, bukan semata-mata bagi mengekalkan kadar hibah yang tinggi.
Sehubungan itu, AMK menggesa Pasukan Khas Penguatkuasa yang dianggotai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan audit forensik secara mendalam.
“Audit ini penting bagi menjejak aliran wang (money trail) serta mendakwa mana-mana dalang yang bertanggungjawab terhadap penyembunyian maklumat atau kecurangan amanah,” katanya lagi.
Taufiq berkata, apa yang berlaku kepada TH merupakan isu serius membabitkan salah guna kuasa dan pecah amanah kerana institusi itu memegang amanah jutaan umat Islam.
“Sebarang bentuk salah guna kuasa, salah urus tadbir mahupun ketirisan dana dalam institusi ini bukan sekadar penyelewengan kewangan biasa, tetapi merupakan satu bentuk pengkhianatan terhadap amanah umat Islam,” katanya lagi.
Mengulas sidang khas Dewan Rakyat pada 11 Ogos ini, beliau berkata, persidangan itu perlu menjadi medan perbahasan menyeluruh, berani dan telus berhubung isu tadbir urus TH.
“Pihak yang telah mengkhianati serta merosakkan institusi umat Islam ini tidak boleh lagi berselindung di sebalik kedudukan mahupun pengaruh politik, biar dari parti mana sekalipun.
“Pemulihan imej Tabung Haji mesti dipandu oleh akauntabiliti, tata kelola berasaskan syariat dan kawalan risiko yang kukuh demi memelihara institusi ini untuk generasi akan datang,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |









One Comment