POLITIK

Pembangkang perlu fokus kepada tugas semak dan imbang – AMK Kedah

ALOR SETAR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah menyeru pembangkang untuk melaksanakan peranan sebagai semak dan imbang dengan penuh integriti demi memastikan keberkesanan pentadbiran kerajaan dan kesejahteraan rakyat.

Ketua AMK Kedah, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, tanggungjawab pembangkang bukan sekadar mengkritik, tetapi juga memastikan kerajaan melaksanakan tugas dengan amanah dan telus.

“Namun, jika dalam kalangan mereka sendiri berlaku ketidakharmonian, bagaimana mereka mampu mentadbir negara dengan baik? Saya menggesa pembangkang melaksanakan tanggungjawab mereka dengan profesionalisme tinggi,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Dr. Taufiq Johari walk about edaran buah limau serta santai bertemu dengan masyarakat di Pasar Pagi Taman Intan dan Kopitiam Taman Intan.

Menurut beliau, pembangkang perlu memberi tumpuan kepada negeri-negeri yang ditadbir untuk memastikan ekonomi negeri berkenaan berkembang dan rakyat menerima manfaatnya.

“Kerajaan pembangkang perlu menghentikan politik murahan. Sebaliknya, fokuskan usaha kepada kebajikan rakyat yang telah memberikan mandat kepada mereka sebagai pemimpin,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Taufiq turut meluahkan kebimbangan terhadap sikap pembangkang yang lebih sibuk menggugat kestabilan kerajaan berbanding memainkan peranan sebagai pengawas yang berkesan.

“Ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, giat membawa suara Malaysia ke peringkat antarabangsa dan menarik pelaburan demi kepentingan rakyat, pembangkang sibuk menjatuhkan kerajaan dan saling menamakan calon Perdana Menteri dari kalangan mereka.

“Tindakan itu jelas bercanggah dengan matlamat sebenar mereka sebagai wakil rakyat,” tegas beliau.

Beliau juga mempersoalkan pencapaian Tan Sri Hadi Awang sewaktu memegang jawatan Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah ketika Perikatan Nasional memerintah.

“Anwar Ibrahim telah menunjukkan komitmen luar biasa dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin, termasuk usaha di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menyingkirkan Israel daripada keanggotaan.

“Tetapi, apa hasil konkrit yang dicapai Hadi Awang dalam tempoh tersebut?” soalnya.

Taufiq turut mengkritik pendekatan Hadi Awang yang sering menggunakan isu 3R (Race, Religion, Royalty) sehingga mencetuskan ketegangan kaum dan agama.

“Negara memerlukan pemimpin yang mampu menyatupadukan masyarakat, bukan sebaliknya.

Malangnya, tindakan beliau baru-baru ini mencetuskan kemurkaan Sultan Selangor, satu perkara yang tidak sepatutnya berlaku di negara berpegang teguh kepada prinsip Raja Berperlembagaan,” ujarnya.

Beliau berharap pembangkang dapat memainkan peranan mereka dengan lebih matang dan bertanggungjawab demi masa depan negara yang lebih baik.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button