Juruteknik mengaku tidak bersalah buat hantaran video jelik di TikTok
SEPANG – Seorang juruteknik mengaku tidak bersalah di mahkamah sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi berupa video yang disifatkan sebagai jelik melampau menerusi aplikasi TikTok.
Mohamad Norfirdaus Abdul Rahman, 29, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) di hadapan hakim, Ahmad Fuad Othman.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa pada 12 Januari 2026 kira-kira pukul 4.11 pagi, menggunakan perkhidmatan TikTok melalui akaun ‘nowad.acc4’ untuk secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi iaitu sebuah video yang jelik melampau sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati mana-mana orang.

Kesalahan itu didakwa dilakukan sebelum dikesan pada 25 Januari 2026 kira-kira pukul 1.30 tengah hari di Menara MCMC 1, Jalan Impact, Cyber 6, Cyberjaya.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Mohamad Azmir Mohd Razali.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya, serta denda lanjut RM5,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Dalam prosiding itu, peguam tertuduh, Azi’ Azlin Zulkifli memohon agar jumlah jaminan RM10,000 dikurangkan kepada RM3,000.
Tertuduh yang masih bujang dan bekerja sebagai juruteknik dengan pendapatan kira-kira RM3,000 sebulan turut dimaklumkan mempunyai tanggungan ibu bapanya di kampung.
Mahkamah bagaimanapun membenarkan jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin.
Difahamkan, tertuduh turut berhasrat mengemukakan representasi berhubung pertuduhan berkenaan.
Sebelum ini, tawaran kompaun sebanyak RM10,000 telah dibuat bertarikh 8 Mei 2026 dan dihantar ke kampung OKS, namun ia telah luput tarikh.
Akaun TikTok yang dikaitkan dengan pertuduhan itu juga telah dipadamkan dan tidak lagi aktif.
Mahkamah kemudian menetapkan 7 Oktober ini untuk sebutan semula kes.
OKS turut membayar wang jaminan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







