BERITA SEMASA

Kepercayaan digital asas perkukuh masa depan ekonomi ASEAN

KUALA LUMPUR – Kepercayaan digital perlu menjadi keutamaan negara-negara ASEAN bagi memastikan agenda transformasi digital dapat dilaksanakan secara mampan dan memberi manfaat kepada masyarakat.

Ketua Asia Pasifik GSMA, Julian Gorman berkata, kepercayaan terhadap teknologi dan perkhidmatan digital merupakan asas penting yang perlu diperkukuh seiring dengan peningkatan penggunaan teknologi di rantau ini.

Katanya, tanpa kepercayaan digital, cita-cita negara-negara ASEAN untuk membangunkan ekonomi dan masyarakat digital tidak dapat direalisasikan sepenuhnya.

“Kepercayaan digital merupakan keutamaan yang berkaitan di seluruh negara.

“Kita tidak dapat mencapai cita-cita negara digital tanpa keutamaan ini,” katanya dalam temu bual bersama Bernama sempena M360 ASEAN 2026 di Hotel Grand Hyatt, di sini hari ini.

Menurut beliau, usaha membina dan mengekalkan kepercayaan digital memerlukan kerjasama serantau melibatkan kerajaan, pengawal selia dan industri teknologi serta komunikasi.

Katanya, kerjasama itu penting bagi membangunkan dasar yang sesuai selain menangani cabaran teknologi yang semakin kompleks dan merentasi sempadan negara.

“Kita perlu bekerjasama dalam memperkenalkan dasar dan menangani isu yang dihadapi di rantau ini.

“Ini memerlukan kerjasama serantau dari segi dasar dan teknologi,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan secara bersama amat penting kerana perkembangan ekonomi digital ASEAN semakin pantas dan saling berkait antara satu negara dengan negara lain.

Dalam pada itu, Gorman berkata M360 ASEAN menjadi platform untuk kerajaan dan industri berkongsi pengalaman, inovasi serta penyelesaian dalam usaha membina ekosistem digital yang lebih dipercayai.

Katanya, kerjasama yang kukuh juga akan membantu ASEAN menghadapi perubahan teknologi pada masa depan, termasuk perkembangan kecerdasan buatan (AI), 5G dan perkhidmatan digital.

“ASEAN akan bergerak dengan pantas. Kita perlu berkumpul, berkongsi kepentingan, inovasi, peluang dan kejayaan,” katanya.

M360 ASEAN 2026 menghimpunkan pembuat dasar, pengawal selia, pemimpin industri dan pemain teknologi bagi meneliti bagaimana ASEAN boleh menterjemahkan aspirasi digitalnya kepada tindakan di peringkat serantau.

Acara selama dua hari sehingga esok itu dianjurkan oleh M360 Series dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sebagai rakan hos.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button