KPT teroka penubuhan universiti khusus sains sukan
KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melihat keperluan meneroka penubuhan sebuah universiti khusus dalam bidang sains sukan bagi menggabungkan kecemerlangan akademik dengan pembangunan atlet berprestasi tinggi.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, gagasan itu merupakan aspirasi jangka panjang yang boleh direalisasikan dengan memanfaatkan kepakaran dan kemudahan sedia ada di institusi pendidikan tinggi (IPT).
“Bidang sains sukan, penyelidikan, pemakanan, fisioterapi dan pembangunan prestasi atlet antara aspek yang boleh diperkukuh menerusi pendekatan bersepadu itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan bersama warga KPT bertemakan “Pembangunan Atlet Berprestasi Tinggi: Membina Legasi Juara”, hari ini.
Dalam sesi berkenaan, beliau turut mendengar pandangan dan cadangan atlet negara mengenai keperluan menyediakan jadual akademik lebih fleksibel, kemudahan latihan, penginapan serta sokongan psikologi.
Katanya, usaha berkenaan penting bagi memastikan atlet negara bukan sahaja cemerlang dalam sukan, malah berjaya dalam akademik dan mempunyai jaminan masa depan kerjaya.
Dalam perkembangan berkaitan katanya, Malaysia sedang membuat persiapan untuk menjadi tuan rumah Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2026 dari 10 hingga 19 Disember ini.
Katanya, kejohanan itu akan melibatkan penyertaan 11 negara ASEAN dalam 19 jenis sukan.
Beliau berharap penganjuran AUG 2026 dapat dilaksanakan dengan lebih baik, selain membuka ruang kepada atlet negara untuk mencapai kejayaan cemerlang.
“Kita mahu melahirkan atlet yang bukan sahaja hebat fizikalnya, tetapi juga tajam pemikirannya. Inilah legasi juara yang mahu kita bina untuk masa depan negara,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








