Malaysia, Rusia perhebat kerjasama strategik pelbagai sektor
PUTRAJAYA – Malaysia dan Rusia sepakat memperkukuh kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang strategik termasuk tenaga, pendidikan, teknologi hijau serta aeroangkasa.
Perkara itu diputuskan hasil Mesyuarat Keempat Suruhanjaya Bersama Malaysia–Rusia bagi Kerjasama Ekonomi, Saintifik, Teknikal dan Kebudayaan (JC ESTC) yang berlangsung di sini.

Mesyuarat yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan Menteri Sains serta Pendidikan Tinggi Persekutuan Rusia, Valery Falkov itu telah merumuskan pelan konkrit dalam 17 bidang keutamaan.
Zambry berkata, antara tumpuan utama ialah usaha mempercepatkan penghapusan sebahagian keperluan visa, penyambungan semula penerbangan terus Malaysia–Rusia, serta kerjasama dalam sektor aeroangkasa, industri hijau, industri halal dan pembinaan kapal.
“Kedua-dua negara turut bersetuju membuka peluang pelaburan baharu di Wilayah Timur Jauh dan Artik Rusia.
“Dalam sektor tenaga, Rusia menyatakan minat untuk membekalkan gas asli cecair (LNG) dan gas petroleum cecair (LPG) kepada Malaysia,” katanya dalam hantaran di Facebooknya hari ini.
Selain itu katanya, kedua-dua pihak turut bersetuju mempercepatkan pemuktamadan kerjasama tenaga nuklear untuk tujuan aman menjelang suku pertama 2026.
Dalam bidang pendidikan, Rusia menawarkan 40 biasiswa setiap tahun, manakala Malaysia berhasrat memperluas kerjasama dalam bidang teknologi maklumat, kecerdasan buatan (AI), data raya dan digitalisasi.
“Kedua-dua negara juga komited memperkukuh kerjasama dalam perubahan iklim, teknologi hijau, tenaga boleh baharu, pembiayaan hijau serta teknologi hidrogen, dengan Rusia turut menawarkan kepakaran dalam pengurusan sisa berteknologi tinggi,” katanya.
Malaysia dalam pada itu menegaskan kepentingan pelaksanaan berkesan terhadap perjanjian yang telah dimeterai supaya manfaatnya dapat dirasai oleh rakyat kedua-dua negara.
Zambry berkata, kedua-dua pihak menyambut baik kesinambungan dialog tersebut dan menantikan Mesyuarat Kelima JC ESTC di Rusia tahun hadapan bagi meneroka peluang baharu dan memperkukuh kerjasama strategik Malaysia–Rusia ke tahap lebih komprehensif dan berimpak tinggi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








