HIBURAN

M Jamil sah bercerai talak satu

KUALA LUMPUR – Pelakon dan pengarah era 1980-an, M Jamil, 62, sah bercerai talak satu dengan isterinya, Shahrila Markom di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Gombak, Selayang, hari ini selepas lapan bulan prosiding perceraian berlangsung.

M Jamil mengesahkan perkara itu ketika dihubungi menerusi kiriman mesej ringkas, sambil meluahkan rasa syukur apabila urusan perceraian mereka selesai secara baik.

“Alhamdulillah. Semuanya dapat settle (diselesaikan) dengan cara baik. Syukur.

“Kami berpisah dengan talak satu oleh mahkamah dan jodoh kami berakhir di sini. Sudah sah cerai,” katanya memetik laporan Metro Online.

Pada 28 September lalu, kedua-dua pihak hadir ke mahkamah bersama peguam syarie masing-masing, dengan Shahrila selaku plaintif diwakili Nabila Abdul Rahim, manakala M Jamil sebagai defendan diwakili Muhammad Luqmanulhakim Ahmad.

Dalam prosiding di hadapan Hakim Syarie, Maizatul Aliza Chee Din, mahkamah membenarkan M Jamil melantik hakam keluarga, iaitu anaknya, Sadiq Jamil, 28.

Satu sesi majlis tahkim turut diadakan bagi membolehkan kedua-dua keluarga berbincang secara baik, dengan tujuan mencari jalan perdamaian dan penyelesaian secara muafakat terhadap kemelut rumah tangga mereka.

Permohonan perceraian itu difahamkan difailkan Shahrila pada Februari lalu.

Hasil perkongsian hidup selama 12 tahun, pasangan itu dikurniakan dua anak perempuan, Sarimah Salma, 11, dan Laila Jamila, 9, yang kini berada di bawah penjagaan Shahrila.

M Jamil mengahwini Shahrila pada 24 Mei 2014 selepas kematian isteri ketiganya, Allahyarhamah Siti Rohani Wahid pada 2010.

Shahrila dilaporkan meninggalkan rumah bersama dua anak mereka pada November tahun lalu. M Jamil juga difahamkan tidak lagi berpeluang bertemu kedua-dua anaknya sejak itu.

M Jamil yang merupakan anak kepada seniwati Datuk Sarimah Ahmad, 84, mengalami strok sejak lapan tahun lalu dan turut berdepan komplikasi diabetes sehingga jari kelingking kaki kirinya terpaksa dipotong.

Sepanjang empat perkahwinannya, M Jamil dikurniakan 11 anak dan kini difahamkan menetap bersama dua anak hasil perkahwinannya dengan Allahyarhamah Siti Rohani.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button