Nuklear Malaysia perkukuh peranan pacu ekonomi negara
BANGI – Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) terus memperkukuh peranannya dalam memacu ekonomi negara apabila berjaya merekodkan 19 produk dan perkhidmatan yang dikomersialkan, 44 perjanjian pengkomersialan serta 41 jalinan kolaborasi bersama pelanggan industri bagi tempoh 2023 hingga 2026.
Pencapaian memberangsangkan tersebut diketengahkan bersempena penganjuran Hari Inovasi Nuklear Malaysia (HINM) dan Technology Preview & Showcase (TPS) 2026 yang berlangsung di Bangi, hari ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang berkata, nilai eksport produk tempatan berkaitan teknologi nuklear yang mencecah RM6.21 bilion bagi tempoh 2021 hingga 2025 membuktikan bahawa teknologi berkenaan mempunyai potensi ekonomi yang sangat luas.
“Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan terus memperkukuh kerjasama dengan industri bagi mempercepatkan pengkomersialan hasil penyelidikan, membangunkan produk berteknologi tinggi dan memperluas pasaran teknologi tempatan ke peringkat antarabangsa,” katanya ketika berucap merasmikan majlis berkenaan, hari ini.
Antara hasil inovasi berimpak tinggi yang berjaya dikomersialkan merangkumi baka benih padi NMR152, produk biobaja, sistem penyahjangkitan UVGI LembayUVng serta pencegah kakisan NuRust, yang memanfaatkan sektor pertanian, kesihatan, dan perindustrian.
Selain pengkomersialan produk, Nuklear Malaysia turut berfungsi sebagai tulang belakang sokongan teknikal industri dengan mengendalikan kira-kira 2,200 pelanggan aktif dan menyediakan purata 5,900 perkhidmatan teknikal setiap tahun.
Melalui penganjuran TPS 2026, agensi berkenaan memfokuskan usaha merapatkan jurang antara makmal penyelidikan dan kehendak pasaran menerusi sesi pameran serta padanan perniagaan Nuklear Malaysia BizMatch.
Sementara itu, program HINM 2026 yang bertemakan “Nuklear Untuk Rakyat (NUR)” turut mengiktiraf kecemerlangan warga penyelidik menerusi Anugerah Inovasi Nuklear Kebangsaan yang menyaksikan 24 daripada 50 penyertaan mara ke peringkat akhir, selain pelancaran logo rasmi baharu bagi anugerah berkenaan.
Inisiatif dua hari itu turut diisi dengan klinik harta intelek, lawatan fasiliti penyelidikan serta program advokasi sains bersama pelajar sekolah, selaras dengan matlamat Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) 2030 bagi memaksimumkan faedah inovasi nuklear demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan sosioekonomi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








