Ziarah MADANI: Anak muda mangsa kemalangan di Krubong disantuni
MELAKA – Keprihatinan terhadap nasib rakyat yang berdepan kesukaran terus menjadi perhatian apabila wakil Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin, menziarahi seorang anak muda dari Kampung Krubong yang sedang menjalani ujian selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya baru-baru ini.
Ketua PKR Cabang Putrajaya, Fikri Aziz berkata, beliau mewakili Azman atau lebih dikenali sebagai Tok Man untuk menziarahi Rosnizam bagi bertanya khabar serta menyampaikan salam keprihatinan.
Menurutnya, kunjungan itu turut memberi peluang untuk melihat sendiri keadaan Rosnizam selain mengenal pasti keperluan mendesak bagi membantu urusan hariannya.
“Rosnizam turut menerima perhatian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menerusi penyaluran bantuan bulanan bagi membantu meringankan beban yang ditanggung.
“Bagi Tok Man, kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan. Setiap insan yang diuji wajar diberikan perhatian dan sokongan agar mereka tidak berasa keseorangan dalam menghadapi kesukaran hidup,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook hari ini.
Fikri berkata, Azman dijangka hadir menziarahi Rosnizam dalam masa terdekat sebagai tanda keprihatinan berterusan terhadap kebajikan masyarakat setempat.
“Usaha menyantuni masyarakat di Paya Rumput akan terus diperkasakan bagi memastikan tiada golongan yang tercicir daripada perhatian dan bantuan sewajarnya,” katanya.
Turut hadir dalam ziarah berkenaan ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Krubong, Zamri.
Dalam perkembangan berkaitan, Azman yang juga Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri telah dinamakan sebagai calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16. Pengumuman itu dibuat oleh Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 24 Oktober lalu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








