Ibu Cina hantar anak ke PASTI, pertahan pendirian mahu pupuk kefahaman budaya
YONG PENG – Seorang ibu, Zhu Er Chan, tampil menjelaskan keputusan menghantar anaknya ke Tadika PASTI Cha’ah dekat sini selepas menerima pelbagai reaksi dan pertanyaan daripada masyarakat, termasuk mesej peribadi yang mempertikaikan pilihannya.
Menurut beliau, tadika itu menjadi pilihan kerana ia adalah kampung halamannya selain ibunya juga masih menetap di kawasan berkenaan.
“Tadika PASTI Cha’ah berada di kampung saya. Saya membesar di sini dan mak saya masih tinggal di sini. Saya melihat tadika ini sesuai serta memberi peluang kepada anak saya untuk menumpang belajar,” katanya.
Zhu Er Chan berkata, meskipun terdapat pihak yang mempertikaikan keputusannya menghantar anak ke sekolah yang beraliran agama, beliau memilih untuk tidak melayan kritikan tersebut.
Bahkan katanya, ada yang sanggup menggunakan bahasa yang kurang sopan hanya kerana tidak dapat menerima tindakan beliau.
Sebaliknya, beliau memuji pendekatan dan sikap guru-guru di tadika itu yang disifatkan sebagai penyayang, profesional dan mesra kanak-kanak.
“Saya rasa bagus jika anak boleh belajar budaya lain. Kita hidup dalam masyarakat majmuk,” katanya.

Er Chan turut memaklumkan, walaupun anaknya baru tiga bulan mengikuti sesi pembelajaran di tadika tersebut, perkembangan positif sudah dapat dilihat apabila anaknya mampu menyebut beberapa perkataan asas dalam Bahasa Melayu serta menyanyikan lagu-lagu Melayu.
“Yang paling penting, anak saya gembira belajar di sana,” katanya.
Dalam pada itu, Er Chan turut merakamkan penghargaan kepada orang ramai yang memberikan sokongan serta komen positif, khususnya mereka yang menunjukkan kasih sayang terhadap anaknya.
Katanya, meskipun tidak sempat membalas semua komen yang diterima, setiap maklum balas telah dibaca dan dihargai.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








