Isteri Da’i Syed pasrah, serah segalanya kepada Allah
SHAH ALAM – Isteri kepada pendakwah selebriti, Da’i Syed memilih untuk reda dan berserah kepada ketentuan Ilahi selepas Mahkamah Tinggi hari ini mengekalkan hukuman penjara 10 tahun serta tiga sebatan terhadap suaminya atas kesalahan merogol seorang wanita, tujuh tahun lalu.
Nurul Hana Ismail, 40, berkata, segala urusan termasuk kebajikan anak-anak diserahkan sepenuhnya kepada Allah SWT selain bertawakal terhadap perjalanan proses undang-undang yang masih berjalan.
“Insya-Allah, semua Allah akan uruskan. Saya serahkan semua kepada Allah dan peguam. Insya-Allah, kita tawakal,” katanya memetik laporan Kosmo! Online ketika ditemui di pekarangan mahkamah, di sini hari ini.
Terdahulu, di dalam galeri mahkamah, Nurul Hana dilihat memeluk suaminya berulang kali selepas permohonan penangguhan hukuman yang dibuat barisan peguam Da’i Syed ditolak oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Adlin Abdul Majid.
Keputusan tersebut menyaksikan Da’i Syed atau nama sebenarnya, Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful, 31, dihantar ke penjara serta-merta sebaik prosiding mahkamah berakhir.
Untuk rekod, Da’i Syed mendirikan rumah tangga dengan Nurul Hana yang juga personaliti televisyen pada 3 Disember 2022 dan pasangan itu telah dikurniakan dua orang anak, Sharifah Fatma Nour Jamalullail dan seorang bayi lelaki berusia tiga bulan.
Pada 30 Ogos 2024, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan terhadap Da’i Syed selepas mendapati beliau bersalah merogol mangsa di sebuah kondominium di Seksyen 7, Shah Alam, tujuh tahun lalu.
Bagaimanapun, pada 20 September tahun yang sama, Mahkamah Tinggi membenarkan dia dilepaskan sementara selepas menjalani hukuman penjara selama 21 hari, berikutan penggantungan pelaksanaan hukuman sehingga rayuannya didengar dan diputuskan di Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, Da’i Syed didakwa merogol seorang wanita berusia 23 tahun (ketika kejadian) di dalam bilik sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7, Shah Alam pada pukul 1.35 pagi, 11 September 2019.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








