Kes rogol: Da’i Syed kekal bersalah, dipenjara serta-merta termasuk tiga sebatan
SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan pendakwah selebriti, Da’i Syed menjalani hukuman penjara serta-merta selepas mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 10 tahun termasuk tiga sebatan atas kes rogol yang berlaku tujuh tahun lalu.
Hakim Adlin Abdul Majid membuat keputusan tersebut selepas menolak rayuan Da’i Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful, 31, untuk mengetepikan sabitan serta penangguhan pelaksanaan hukuman.
“Keterangan tertuduh bersifat penafian semata-mata dan tiada alasan khas bagi menangguhkan hukuman itu.
“Ia merupakan kesalahan yang serius dan sabitan serta hukuman dikenakan sebelum ini adalah selamat, justeru hukuman penjara itu bermula hari ini,” kata hakim, memetik laporan Sinar Online.
Pada 30 Ogos 2024, Syed Shah Iqmal dijatuhi hukuman penjara selama 10 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam atas satu pertuduhan merogol seorang wanita.
Kes tersebut membabitkan kejadian pada pukul 1.35 pagi, 11 September 2019 di sebuah bilik kondominium di I-City, Seksyen 7, Shah Alam terhadap seorang wanita berusia 23 tahun (ketika itu).
Beliau mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tersebut pada 10 Disember 2020.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.
Pada 10 April 2023, Mahkamah Sesyen sebelum ini melepaskan dan membebaskan Syed Shah Iqmal selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.
Namun, Mahkamah Tinggi kemudiannya membenarkan rayuan pihak pendakwaan dan memerintahkan tertuduh membela diri, sebelum membawa kepada sabitan serta hukuman penjara dan sebatan yang dikekalkan hari ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |




