BERITA SEMASA

BN kekal komited bersama Kerajaan Persekutuan hingga akhir penggal

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama dalam Kerajaan Persekutuan bersama Pakatan Harapan (PH) termasuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) sehingga tamat penggal pentadbiran semasa.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, komitmen BN dalam setiap bentuk kerjasama yang dipersetujui bukan sesuatu yang diberikan atau ditarik balik secara semberono.

Menurut beliau, pendirian BN dalam isu penyertaan dan kedudukannya dalam Kerajaan Persekutuan bersama PH/PKR dibuat atas kesedaran untuk memastikan kestabilan politik negara.

“Komitmen dan kesungguhan BN dalam menjayakan sesuatu perkara bukanlah perkara yang diberikan atau ditarik balik secara semberono atau sesuka hati,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, pendirian berkenaan juga selari dengan kenyataan yang telah ditegaskan Presiden UMNO sebelum ini.

Katanya, meskipun BN bertanding menentang PH/PKR dalam beberapa Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini, keputusan PRN di Sabah, Johor dan Negeri Sembilan tidak pernah dijadikan alasan untuk BN menarik balik komitmen yang telah dipersetujui di peringkat Persekutuan.

“Kita harus memahami bahawa perbezaan pentadbiran di peringkat negeri tidak menghalang kerjasama yang baik di peringkat Persekutuan.

“Ini adalah struktur dan realiti yang unik tentang negara kita. Bentuk kerjasama dan kelaziman politik seperti ini harus mula diterima dengan matang dan terbuka,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, BN pada masa sama melihat Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) sebagai satu titik perubahan atau keputusan yang perlu diuruskan apabila tiba masanya kelak.

Jelasnya, perkara itu tidak seharusnya menjadi alasan untuk mengubah komitmen sedia ada BN dalam kerjasamanya dengan PH di peringkat Persekutuan.

“Buat masa ini, BN akan kekal komited dan serius dalam menjayakan peranan serta tanggungjawabnya dalam Kerajaan Persekutuan sehingga akhir penggal,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button