JPJ Kedah sita Mercedes Benz milik warga Bangladesh
ALOR SETAR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah menyita sebuah kenderaan mewah jenis Mercedes Benz milik seorang lelaki warga Bangladesh menerusi Ops Luxury yang dijalankan di sekitar Jalan Padang Matsirat, Langkawi, semalam.
Menurut Pengarah JPJ Kedah, Stien Van Lutam, lelaki berusia 38 tahun yang bekerja sebagai penanam sayur itu menggunakan kereta mewah berkenaan sejak 27 Mei 2025, lapor BERNAMA.
“Lelaki tersebut ditahan ketika sedang membawa sayur-sayurannya untuk dijual kepada pihak ketiga di sebuah pasar basah di Padang Matsirat. Hasil soal siasat, dia memaklumkan kereta berkenaan adalah miliknya tetapi tidak memberitahu harga sebenar kereta yang dibelinya itu.
“Pemeriksaan mendapati lelaki tersebut tidak memiliki lesen memandu yang sah, selain lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans yang telah tamat pada 26 Julai lepas,” katanya, hari ini.
Susulan itu, katanya, JPJ menyita kereta mewah berkenaan untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang telah ditetapkan.
“JPJ Kedah ingin memberi peringatan bahawa memiliki kenderaan mewah bukan bermakna kebal terhadap undang-undang. Setiap pemandu dan kenderaan yang berada di atas jalan raya wajib mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








