Warga Bangladesh disyaki guna pas palsu ditahan ketika cuba naiki pesawat ke Dhaka
SEPANG – Seorang warga Bangladesh yang disyaki menggunakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu ditahan ketika cuba menaiki pesawat untuk ke Dhaka, Bangladesh dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dalam satu kenyataan berkata, lelaki itu ditahan kira-kira pukul 4.40 petang di Balai Pelepasan Antarabangsa KLIA Terminal 2.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati, lelaki berusia 39 tahun itu memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (ePass) yang dikepilkan di dalam pasport miliknya.
“Bagaimanapun, semakan lanjut mendapati pas berkenaan disyaki tidak sah dan palsu,” kata kenyataan itu, hari ini.
Susulan itu, lelaki terbabit telah ditahan sebelum ditempatkan di Depot Imigresen KLIA Terminal 2 bagi tujuan siasatan lanjut.
Kata kenyataan itu lagi, individu berkenaan kemudiannya diserahkan kepada Bahagian Penguatkuasaan AKPS KLIA untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang.
“AKPS akan terus memperketat kawalan keselamatan di pintu masuk dan keluar negara bagi memastikan kedaulatan serta keselamatan sempadan Malaysia sentiasa terpelihara,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







