24 ditahan SPRM dalam cubaan seludup bahan kimia melalui KLIA
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seramai 24 individu dalam siasatan kegiatan penyeludupan bahan kimia berbahaya ke dalam negara melalui sistem kargo di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Mereka yang ditahan terdiri daripada pekerja tiga syarikat pengendali kargo, pegawai dan anggota dari tiga agensi penguat kuasa yang bertugas di lapangan terbang berkenaan.
Kesemua individu tersebut kini sedang dirakam percakapan bagi membantu siasatan.
Menurut sumber SPRM, siasatan awal mendapati bahan kimia terbabit telah dikategorikan sebagai barangan tidak berbahaya seperti aksesori dan barangan isi rumah, bagi mengelak pemeriksaan ketat serta memudahkan kemasukan tanpa mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
“Perbuatan ini bukan sahaja melanggar undang-undang sedia ada, malah mendedahkan lapangan terbang utama negara kepada risiko keselamatan,” kata sumber berkenaan.
Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Idris Zaharudin berkata, siasatan tidak hanya tertumpu kepada unsur rasuah, malah turut meneliti kelemahan sistemik dalam tadbir urus, kawalan pentadbiran serta pelaksanaan penguatkuasaan.
“Kami telah membuka satu kertas siasatan melalui Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT) bagi mengenal pasti jurang dalam sistem pengurusan dan kelemahan mekanisme pemantauan yang memungkinkan bahan terlarang ini diseludup masuk dengan mudah,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, penyeludupan bahan kimia tersebut turut dikaitkan dengan sekurang-kurangnya dua insiden kebakaran yang berlaku pada tahun 2024, yang dipercayai berpunca daripada bahan berbahaya yang tidak diisytiharkan secara sah.
“Kelemahan dalam kawalan dan pemantauan di pintu masuk utama negara membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa serta ketirisan, sekali gus menjejaskan keselamatan awam,” tegas beliau.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman terhadap mana-mana individu yang memberi atau menerima suapan berkaitan tugas rasmi.
SPRM menegaskan bahawa siasatan akan dijalankan secara telus dan menyeluruh, dengan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








