BERITA SEMASA

Tiada keterangan mencukupi, SPRM selesai siasatan kes membabitkan Xavier Jayakumar

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan siasatan berhubung kes membabitkan Datuk Dr Xavier Jayakumar yang dibuka pada 2021 telah selesai.

SPRM dalam kenyataan hari ini berkata, keputusan itu dibuat selepas penelitian dan siasatan menyeluruh terhadap maklumat serta keterangan yang diperoleh berkaitan kes berkenaan.

Menurut SPRM, sebanyak dua kertas siasatan dibuka pada 2021 mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

“Setelah siasatan dan penelitian terhadap fakta, dokumen serta keterangan berkaitan dilaksanakan, Timbalan Pendakwa Raya telah membuat keputusan Kemas Untuk Simpan (KUS) kes tersebut pada 2024 kerana tiada keterangan mencukupi untuk menuduh Datuk Dr Xavier,” menurut kenyataan itu.

SPRM menjelaskan tempoh sesuatu siasatan bergantung kepada kompleksiti kes serta keperluan untuk mendapatkan, meneliti dan mengesahkan maklumat serta keterangan berkaitan.

Agensi itu turut menegaskan setiap siasatan dijalankan secara profesional, telus dan berdasarkan fakta serta keterangan tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.

Sehubungan itu, SPRM meminta semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau andaian berhubung perkara berkenaan memandangkan siasatan telah selesai.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button