JENAYAH & MAHKAMAH

Kertas siasatan Op Sky diserah kepada TPR minggu hadapan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyerahkan kertas siasatan berhubung kes rasuah dan pengubahan wang haram berhubung kes Op Sky kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR), minggu hadapan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya sedang mengemas kini kertas siasatan berkaitan syarikat perunding kewangan serta pegawai di beberapa institusi kewangan itu.

“Siasatan buat masa ini sudah dilengkapkan dan sedang dikemaskini dan ia dijangka akan dikemukakan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan lanjut.

“Saya berharap kes ini disegerakan sekiranya tiada sebarang inkuiri oleh TPR dalam kertas siasatan dijalankan,” katanya.

Azam Baki berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Konvokesyen Pegawai Integriti Bertauliah Ke-11 Tahun 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini hari ini.

Op Sky dilaksanakan hasil kerjasama SPRM dengan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi membanteras sindiket rasuah dan pengubahan wang haram dalam kalangan pegawai bank dan organisasi perunding kewangan yang menjadikan penjawat awam sebagai mangsa.

Hasil operasi berkenaan, SPRM menahan 12 individu dalam serbuan di 24 lokasi termasuk kediaman dan pejabat di sekitar Lembah Klang dan merampas kira-kira 4,000 dokumen serta membekukan 98 akaun bank melibatkan lebih RM17 juta, 13 Januari lalu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button