LUAR NEGARA

Trump pelawa CEO UFC jadi Setiausaha Akhbar White House

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump terus mencipta kontroversi apabila menawarkan jawatan Setiausaha Akhbar White House kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Ultimate Fighting Championship (UFC), Dana White.

Pelawaan itu diumumkan Trump menerusi hantaran di platform Truth Social pada Sabtu, dengan menyifatkan White sebagai individu yang mempunyai karakter luar biasa untuk menggalas tanggungjawab berkenaan.

Trump turut mencadangkan White membawa enam petarung UFC terkenal sebagai pembantu, termasuk Islam Makhachev, Khabib Nurmagomedov, Justin Gaethje, Daniel Cormier, Amanda Nunes dan Kayla Harrison.

Beliau secara berseloroh menyifatkan kumpulan itu diperlukan untuk mempertahankan pentadbirannya daripada pihak yang digelarnya sebagai ‘Lunatic Left’.

“Dana akan menjadi Setiausaha Akhbar yang tiada tandingannya. Dana, sila terima jawatan ini!” katanya dalam hantaran tersebut.

White yang ketika itu berada di London bagi menghadiri acara tinju tidak mengumumkan penerimaan secara rasmi terhadap tawaran berkenaan.

Bagaimanapun, beliau memuat naik gambar dirinya berdiri di belakang podium bilik taklimat akhbar White House menerusi Instagram dengan kapsyen ‘On to the next chapter’ (Melangkah ke fasa seterusnya).

Laporan CNN pula memetik sumber yang mengetahui perkara itu sebagai berkata White menolak tawaran berkenaan, meskipun belum ada pengesahan rasmi secara terbuka daripada White atau UFC.

Trump dan White mempunyai hubungan rapat sejak awal 2000-an apabila kasino milik Trump menjadi lokasi penganjuran acara UFC.

Hubungan mereka semakin erat selepas White secara terbuka menyokong kempen politik Trump, termasuk berucap pada Konvensyen Kebangsaan Republikan pada 2016, 2020 dan 2024.

Tawaran itu dibuat ketika jawatan Setiausaha Akhbar White House kosong selepas Katie Zacharia meninggalkan tugas berkenaan pada 16 Oktober lalu, kurang seminggu selepas dilantik menggantikan Karoline Leavitt yang berundur pada penghujung Ogos.

White House turut pernah menjadi lokasi penganjuran acara UFC pada Jun lalu sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan AS ke-250 serta ulang tahun kelahiran Trump yang ke-80.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button