SUKAN

Trump tidak hadir aksi pembukaan Piala Dunia 2026 AS

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump tidak akan berada di Stadium SoFi, Inglewood bagi menyaksikan perlawanan pembukaan Piala Dunia 2026 yang melibatkan skuad kebangsaan AS menentang Paraguay, awal pagi esok.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Pasukan Petugas Piala Dunia AS, Andrew Giuliani, yang menjelaskan bahawa komitmen jadual rasmi Presiden menyebabkan beliau tidak berpeluang hadir ke perlawanan berkenaan.

“Beliau tidak akan hadir ke perlawanan pembukaan tersebut. Seperti yang dimaklumkan sebelum ini, jadual beliau sangat padat. Namun beliau akan terus mengikuti dan terbabit dengan kejohanan ini,” katanya kepada stesen radio Britain, TalkSport.

Trump dijadualkan pulang ke Washington pada hujung minggu ini untuk menghadiri acara UFC Freedom 250 yang akan berlangsung di Rumah Putih pada Ahad, bersempena sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-80.

Ketidakhadiran beliau pada aksi pertama skuad AS itu disifatkan agak luar biasa, memandangkan tradisi pemimpin negara tuan rumah lazimnya hadir memberi sokongan kepada pasukan kebangsaan masing-masing, namun keadaan tersebut bukan sesuatu yang baharu dalam sejarah kejohanan.

Sebelum ini, Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum turut tidak hadir menyaksikan perlawanan pembukaan apabila Mexico menewaskan Afrika Selatan 2-0 dalam aksi awal kejohanan, awal pagi semalam.

Trump yang sememangnya dikenali sebagai peminat sukan juga pernah beberapa kali menghadiri acara sukan utama, termasuk perlawanan ketiga Final NBA di New York, namun kehadirannya sebelum ini menerima reaksi bercampur daripada penonton.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button