KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada beregu wanita badminton utama negara, Pearly Tan dan M. Thinaah atas kejayaan meraih pingat gangsa pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
Beliau berkata, kejayaan itu sekali gus menamatkan penantian 12 tahun Malaysia untuk meraih pingat dalam acara beregu wanita badminton pada temasya berkenaan.
“Tahniah saya ucapkan kepada Pearly Tan dan M. Thinaah atas kejayaan meraih pingat gangsa dalam acara beregu wanita badminton di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, sekali gus menamatkan penantian 12 tahun Malaysia untuk pingat dalam acara ini.
“Syabas atas semangat perjuangan yang ditampilkan. Semoga pencapaian ini menjadi pemangkin buat Pearly, Thinaah dan atlet-atlet lain untuk terus mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook, hari ini.
Gandingan berkenaan dilaporkan menyumbangkan pingat gangsa kesembilan buat kontinjen Malaysia pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 selepas terkandas di peringkat separuh akhir.
Pasangan yang menghuni ranking kelima dunia itu tewas kepada beregu nombor satu dunia dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning dalam aksi sengit tiga set yang berlangsung selama satu jam 20 minit.
Pearly dan Thinaah mempamerkan aksi bertenaga dalam perlawanan itu sebelum akur 21-16, 20-22, 12-21 kepada gandingan nombor satu dunia berkenaan.
Kali terakhir Malaysia menaiki podium dalam acara beregu wanita Sukan Asia adalah menerusi Vivian Hoo-Woon Khe Wei yang memenangi pingat gangsa pada edisi Incheon 2014.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








