Malaysia laksana fasa pertama penghantaran pulang 1,476 warga Myanmar
PUTRAJAYA – Seramai 1,476 warga Myanmar yang ditahan di Depot Tahanan Imigresen memulakan Fasa Pertama program penghantaran pulang secara sukarela dan berperingkat ke negara asal, hari ini.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan penghantaran pulang berkenaan dilaksanakan melalui laluan laut menggunakan dua kapal dan sebuah kapal hospital milik Kerajaan Myanmar.
“Operasi itu diselaraskan KDN, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta agensi berkaitan berdasarkan senarai yang dikemukakan Kerajaan Myanmar melalui Nota Diplomatik rasmi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca juga : Myanmar setuju terima semula 5,000 Rohingya dari Malaysia – Anwar
Menurut KDN, langkah berkenaan adalah sebahagian daripada pendekatan Kerajaan MADANI bagi menangani permasalahan kehadiran pelarian asing di Malaysia yang sudah berlarutan selama berpuluh tahun.
KDN berkata, sehingga 15 Ogos 2026, seramai 10,388 warga Myanmar yang ditahan di Depot Tahanan Imigresen sedang melalui proses pengesahan identiti, status imigresen dan latar belakang keselamatan.
Daripada jumlah itu, katanya, seramai 5,000 warga Myanmar sudah dimuktamadkan untuk menjalani program penghantaran pulang secara sukarela dan berperingkat ke negara asal.
Keputusan itu dibuat berdasarkan persetujuan Kerajaan Myanmar untuk menerima mereka serta persetujuan individu terbabit untuk pulang secara sukarela.
Menurut KDN, lebih 95 peratus daripada keseluruhan pelarian di Malaysia adalah warga Myanmar, dengan isu kehadiran mereka dikatakan telah menjadi beban kewangan besar kepada negara, selain mencetuskan krisis sosial dan ancaman keselamatan yang nyata kepada rakyat Malaysia.
“Langkah ini merupakan sebahagian daripada pendekatan Kerajaan MADANI untuk menyelesaikan permasalahan legasi tersebut berlandaskan prinsip keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang,” katanya.
KDN berkata, walaupun Malaysia bukan Negara Pihak kepada Konvensyen Mengenai Status Pelarian 1951 dan Protokol 1967, pendekatan yang diambil kekal berteraskan nilai ihsan dan semangat kekeluargaan ASEAN.
“Tindakan dilaksanakan secara teratur, bertanggungjawab dan berperikemanusiaan tanpa berkompromi terhadap keselamatan dan kedaulatan negara,” katanya.
Menurut KDN, melalui rundingan diplomatik dengan Kerajaan Myanmar serta penguatkuasaan undang-undang, kerajaan dapat memperkukuh pengurusan warga asing dan individu yang mendakwa sebagai pelarian berdasarkan identiti serta status yang sudah dikenal pasti.
Pendekatan itu membolehkan tindakan susulan dibuat secara lebih teratur berdasarkan undang-undang dan prosedur yang berkuat kuasa.
KDN berkata, fasa penghantaran pulang seterusnya akan diteruskan tertakluk kepada penyempurnaan proses pengenalpastian, dokumentasi dan verifikasi, selain kesiapsiagaan logistik serta penyelarasan operasi antara Malaysia dan Myanmar.
Kejayaan pelaksanaan Fasa Pertama itu, katanya, mencerminkan kesungguhan dan komitmen Kerajaan MADANI untuk menyelesaikan permasalahan legasi yang sudah berlarutan sekian lama secara tegas, tersusun dan berkesan.
“Langkah itu turut memberi isyarat jelas bahawa kerajaan serius menangani isu migrasi tidak teratur dan pendatang asing tanpa izin melalui penguatkuasaan undang-undang, penghantaran pulang serta pengurusan dan pendataan yang lebih sistematik,” katanya.
KDN menegaskan, Kerajaan MADANI kekal komited memperkasa keselamatan dan ketenteraman awam berasaskan tatakelola yang baik, selain memastikan kedaulatan undang-undang dan negara terus dipelihara.
“Keselamatan, kebajikan dan kepentingan rakyat Malaysia kekal menjadi keutamaan dalam setiap tindakan yang dilaksanakan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








