BERITA SEMASA

KPT hentikan prosiding tatatertib mahasiswa berkaitan kebebasan bersuara serta-merta

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengambil langkah segera ke arah pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) dengan memperluas kebebasan bersuara dan hak berpersatuan dalam kalangan mahasiswa.

KPT dalam kenyataan hari ini berkata, langkah itu selaras dengan penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Forum Ilmuwan Malaysia MADANI (FIM) Siri 13 berhubung usaha memansuhkan AUKU.

Menurut kementerian itu, sementara proses pembangunan kerangka perundangan baharu dilaksanakan, langkah yang boleh memberikan lebih kebebasan kepada mahasiswa perlu dilaksanakan segera tanpa menunggu keseluruhan proses penggubalan akta baharu selesai.

“Sehubungan itu, KPT telah meneliti langkah-langkah yang boleh dilaksanakan dalam kerangka perundangan sedia ada bagi menterjemahkan penegasan tersebut dengan segera,” menurut kenyataan itu.

Beberapa peruntukan dalam AUKU serta Kaedah-Kaedah Tatatertib Pelajar yang mengehadkan kebebasan mahasiswa untuk bersuara dan berpersatuan dikenal pasti untuk dikecualikan daripada pemakaian sebagai langkah pelaksanaan segera.

Antara perkara yang diberi kelonggaran ialah kebebasan pengurusan persatuan dan kelab, kebebasan pengurusan aktiviti pelajar serta kebebasan bersuara, berhimpun, penggunaan platform komunikasi dan pengedaran serta penerbitan dokumen.

“Selaras dengan langkah tersebut, KPT ingin mengumumkan bahawa semua prosiding tatatertib berkaitan dengan kebebasan bersuara, penyataan pandangan, kritikan awam dan perhimpunan secara aman di semua universiti awam hendaklah dihentikan berkuat kuasa serta-merta,” katanya.

Bagaimanapun, KPT menegaskan kebebasan berkenaan perlu bergerak seiring dengan tanggungjawab serta keluhuran undang-undang.

Perbuatan melibatkan keganasan, vandalisme, kerosakan harta benda, kesalahan jenayah, salah laku akademik atau pelanggaran tatatertib yang sah masih tertakluk kepada undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa.

Bagi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang tidak tertakluk kepada AUKU, KPT berkata penelitian sama akan dilaksanakan terhadap peruntukan masing-masing berkaitan mahasiswa.

Langkah itu bertujuan memastikan kedua-dua institusi berkenaan turut selaras dengan pembaharuan yang dilaksanakan di bawah AUKU.

KPT berkata kementerian itu terus komited meneruskan pembangunan tatakelola pendidikan tinggi yang terbuka, tersusun dan inklusif melalui penglibatan semua pemegang taruh.

Usaha berkenaan, katanya, penting bagi memastikan penghasilan ekosistem pendidikan tinggi masa hadapan negara yang berkualiti.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button