BERITA SEMASA

Anak kahwin campur boleh didaftarkan sebagai Melayu – Saifuddin

KUALA LUMPUR – Anak hasil perkahwinan sah antara warganegara Malaysia berketurunan Melayu dengan warga asing beragama Islam boleh didaftarkan sebagai Melayu atau mengikut keturunan ibu atau bapanya.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pendaftaran keturunan anak berkenaan boleh dibuat berdasarkan keturunan salah seorang ibu bapanya.

Beliau berkata demikian menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat bagi menjawab soalan Pang Hok Liong (PH-Labis) mengenai status Bumiputera serta hak dan keistimewaan bagi warga asing yang berkahwin dengan orang Melayu beragama Islam.

“Perkahwinan sah warganegara asing beragama Islam dengan warganegara Malaysia berketurunan Melayu, ibu atau bapa kanak-kanak boleh memilih sama ada kanak-kanak tersebut didaftarkan mengikut keturunan ibu atau bapa, sama ada berketurunan Melayu atau mengikut keturunan warganegara asing berkenaan,” katanya.

Saifuddin berkata, perkahwinan dengan warganegara Malaysia berketurunan Melayu tidak secara automatik menjadikan warga asing berkenaan berketurunan Melayu.

“Menurut Perlembagaan Persekutuan, seseorang Melayu ditakrifkan sebagai individu yang menganut agama Islam, lazimnya bertutur dalam bahasa Melayu, menurut adat istiadat Melayu serta memenuhi kriteria berkaitan kelahiran atau pemastautinan yang ditetapkan,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button