BERITA SEMASA

Pemandu lori rempuh 11 kenderaan di Persiaran Mokhtar Dahari positif dadah

SHAH ALAM – Pemandu lori yang merempuh 11 kenderaan di persimpangan lampu isyarat Alam Budiman, Persiaran Mokhtar Dahari, di sini semalam, didapati positif amphetamine dan methamphetamine atau syabu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, lelaki berusia 51 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan selepas ujian air kencing mendapati dia positif kedua-dua jenis dadah berkenaan.

Menurutnya, kemalangan kira-kira pukul 4.20 petang itu membabitkan 12 kenderaan, termasuk lori dipandu lelaki terbabit.

“Siasatan awal mendapati pemandu lori mendakwa kenderaannya mengalami masalah brek ketika menuruni bukit dari arah Puncak Perdana menghala ke Puncak Alam sebelum hilang kawalan.

“Lori itu kemudian terbabas ke laluan bertentangan sebelum melanggar 11 kenderaan yang sedang berhenti di lampu isyarat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kemalangan itu menyebabkan seorang lelaki berusia 58 tahun yang memandu Subaru XV mengalami kecederaan parah di kepala dan dirawat di Zon Merah Hospital Al-Sultan Abdullah, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam.

Isteri mangsa berusia 53 tahun dan cucu lelaki mereka berusia 17 tahun yang turut berada dalam kenderaan sama juga menerima rawatan di hospital berkenaan, namun kedua-duanya dilaporkan stabil.

Seorang lagi mangsa, lelaki berusia 29 tahun yang memandu Perodua Myvi, mengalami kecederaan pada badan dan turut dilaporkan stabil.

Sarudin berkata, ujian pernafasan bagi mengesan alkohol turut dijalankan terhadap pemandu lori berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Abdul Nasser Peping, menerusi talian 012-286 3875 bagi membantu siasatan.

Terdahulu, media melaporkan empat individu cedera, termasuk seorang lelaki yang parah, dalam kemalangan berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button