Tiga tahun edar dadah kepada nelayan, suspek akhirnya diberkas di Semerak
Tiga tahun edar dadah kepada nelayan, suspek akhirnya diberkas di Semera
PASIR PUTEH – Kegiatan seorang lelaki yang dipercayai menjadi pembekal dadah kepada komuniti nelayan selama tiga tahun berakhir apabila dia ditahan bersama 600 biji pil yaba di Kampung Haji Wan Omar, Semerak, petang semalam.
Suspek berusia 31 tahun itu ditahan hasil serbuan Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) menerusi Op Taring Wawasan pada pukul 4.30 petang semalam.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, serbuan dilakukan di sebuah bangsal tidak berpenghuni susulan hasil risikan yang dijalankan pihak berkuasa.
Katanya, nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM6,000 setelah pihak berkuasa menemukan 600 biji pil yaba di dalam satu bungkusan plastik lutsinar semasa serbuan dilakukan.
“Hasil soal siasat lanjut suspek mengaku bahawa dadah terbabit adalah miliknya namun enggan mendedahkan sumber bekalan serta cara dadah terbabit diperoleh.
“Suspek mengaku terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah sejak tiga tahun lalu bersama rakannya dan bekalan dadah itu diedar kepada nelayan dan penduduk sekitar Tok Bali.
“Risikan, pemantauan dan tindakan penguatkuasaan secara berterusan akan dipergiatkan bagi mengesan serta membanteras sebarang aktiviti pengedaran, penjualan dan penyalahgunaan dadah di sekitar kawasan Tok Bali.
“Di samping itu, usaha mengesan individu lain yang dipercayai terbabit dalam rangkaian pengedaran dadah akan diteruskan bagi memutuskan rangkaian pengedaran serta mengekang ancaman jenayah berkaitan dadah di kawasan berkenaan,” katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.
Beliau berkata, barang rampasan dan suspek diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh untuk tindakan lanjut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















