Protes pelajar Perancis: Kerajaan tawar 3,000 guru gantian
PARIS – Kerajaan Perancis menawarkan penempatan 3,000 guru gantian dalam beberapa hari akan datang susulan gelombang protes pelajar sekolah menengah yang menuntut penambahan sumber dan tenaga pengajar dalam sektor pendidikan.
Menteri Pendidikan, Edouard Geffray mengumumkan langkah itu menerusi temu bual televisyen pada Khamis malam, selepas satu lagi hari demonstrasi yang menyaksikan pertempuran antara penunjuk perasaan dan polis di beberapa kawasan.
Kerajaan memaklumkan seramai 6,877 individu ditahan sejak protes bermula, dengan 86 peratus daripada mereka berusia bawah 18 tahun, memetik laporan BBC.
Kelmarin, kira-kira 71,000 orang menyertai demonstrasi di seluruh negara termasuk 24,000 yang berhimpun di kawasan Bastille, Paris, dalam aksi yang disifatkan kesatuan pelajar sebagai hari keempat gerakan protes itu.
Polis sekali lagi menggunakan gas pemedih mata bagi menyuraikan kumpulan penunjuk perasaan yang menyerang anggota keselamatan menggunakan batu turapan dan bunga api buatan sendiri.
Di Bordeaux, sebuah sekolah menengah atau lycee dirosakkan oleh penunjuk perasaan, manakala seorang penolong pengetua di Marseille dilaporkan dipukul.
Bagaimanapun, jumlah sekolah yang ditutup sepenuhnya atau sebahagiannya menurun kepada kira-kira 140 daripada keseluruhan 3,500 sekolah menengah pada Jumaat, berbanding hari-hari sebelumnya.
Satu lagi aksi protes dijadualkan berlangsung Selasa depan.
Geffray berkata, penggunaan perisian baharu di kementeriannya membolehkan 3,000 guru gantian ditempatkan di kira-kira 500 sekolah menengah yang dikenal pasti paling memerlukan tenaga pengajar.
Kebanyakan sekolah berkenaan dijangka terletak di kawasan pinggir bandar yang mempunyai kadar penduduk imigran tinggi, iaitu kawasan yang berdepan masalah kekurangan guru paling ketara.
Beliau turut memaklumkan bahawa peruntukan tambahan akan disediakan menerusi skim sedia ada bagi membolehkan guru yang bersedia bekerja lebih masa membantu mengisi kekosongan tenaga pengajar.
Selain itu, tuntutan pelajar akan dipertimbangkan dalam perbincangan berkaitan peruntukan pendidikan bagi Belanjawan Negara 2027.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








