BERITA SEMASA

Provokasi sewaktu pemeriksaan disiplin cetus insiden antara guru, pelajar

IPOH – Insiden membabitkan seorang guru lelaki dan sekumpulan pelajar di sebuah sekolah menengah di Kuala Kangsar, semalam berpunca daripada provokasi semasa pemeriksaan rambut pelajar.

Menurut Pengarah Pendidikan Perak, Zulkafli Mohamed Mokhtar, kejadian kira-kira pukul 7.50 pagi itu berlaku sewaktu pemeriksaan disiplin yang menfokuskan mengenai penampilan rambut pelajar di dewan serbaguna sekolah, lapor BH Online.

Ketika kejadian, tiga pelajar Tingkatan Lima dikatakan enggan mematuhi arahan ketua guru disiplin sekolah supaya diasingkan di bahagian tangga dewan sebelum bercakap dengan nada kasar terhadap guru berkenaan.

“Ketika pemeriksaan, murid yang rambut berfesyen atau rambut yang diwarnakan diarahkan duduk di bahagian tangga dewan. Namun tiga pelajar berkenaan enggan dan menyatakan keengganan mereka dengan nada kasar.

“Guru berkenaan hilang sabar dan bertindak luar jangka kepada seorang murid itu. Guru berkenaan bagaimanapun ditenangkan, manakala dua pelajar lagi berlari sambil menjerit meninggalkan kawasan sekolah,” katanya, hari ini.

Susulan kejadian, satu pertemuan perbincangan diadakan antara pihak pentadbir sekolah termasuk pengetua bersama ibu bapa pelajar yang terbabit bagi mencapai penyelesaian.

“Rumusan pertemuan itu, perlu diadakan pertemuan bersama-sama pihak sekolah pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Kangsar, Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) dan wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

“Ibu bapa pelajar yang dijumpai juga menyatakan persetujuan yang mahukan anak mereka mematuhi peraturan sekolah, khususnya tidak lagi mewarnakan rambut, selain berharap guru terbabit perlu bertindak yang sepatutnya,” katanya lagi.

Laporan media sebelum ini menyebut, seorang guru disiplin sebuah sekolah di Kuala Kangsar dikatakan cedera akibat ditumbuk sekumpulan pelajar dalam satu kejadian semalam, dengan kejadian dikatakan tercetus daripada rasa tidak puas hati selepas rambut pelajar digunting guru lelaki berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button