BERITA SEMASA

11 tahun menanti, SJKT Sungai Bakap akhirnya dibina – Fadhlina

NIBONG TEBAL – Selepas 11 tahun menanti, komuniti Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Sungai Bakap akhirnya dapat menarik nafas lega apabila projek pembinaan sekolah baharu bernilai RM12.6 juta itu dapat dimulakan.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, tempoh 11 tahun bukan sesuatu yang singkat bagi sebuah sekolah yang terpaksa melalui pelbagai kekangan dan proses panjang sebelum impian untuk memiliki sekolah baharu direalisasikan.

“Sebelas tahun bukan tempoh yang singkat untuk sebuah sekolah menunggu.

“Sejak 2015, komuniti SJKT Sungai Bakap menantikan sekolah baharu ini. Ada kekangan, ada proses yang panjang dan ada harapan yang berkali-kali terpaksa dibawa ke hadapan,” katanya menerusi kenyataan sempena Majlis Pecah Tanah SJKT Sungai Bakap semalam.

Menurut Fadhlina, sekolah baharu berkenaan akan dilengkapi enam bilik darjah, padang serta kemudahan sekolah yang lengkap dan dijangka siap pada 2027.

Katanya, pembinaan sekolah itu bukan sekadar menyediakan kemudahan pendidikan, sebaliknya menjadi ruang kepada komuniti setempat untuk memastikan budaya dan warisan mereka terus diwariskan kepada generasi seterusnya.

“Saya kenal komuniti ini. Mereka juga sebahagian daripada keluarga besar Nibong Tebal yang memberikan kepercayaan kepada saya untuk menjadi suara mereka di Parlimen.

“Bagi komuniti di sini, sekolah ini menjadi ruang untuk budaya dan warisan mereka terus diwariskan kepada generasi seterusnya,” katanya.

Fadhlina berkata, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim atas kelulusan peruntukan berkenaan serta semua pihak yang berusaha sehingga projek itu akhirnya dapat dimulakan.

“Bagi saya, hari ini juga membawa makna yang cukup peribadi.

“Kerana saya bukan sahaja hadir sebagai Menteri Pendidikan, tetapi sebagai Ahli Parlimen Nibong Tebal yang diberikan amanah untuk menjaga setiap komuniti di kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata, perkembangan itu membuktikan satu lagi penantian panjang masyarakat di Nibong Tebal akhirnya dapat dijawab menerusi tindakan dan pelaksanaan projek.

“Saya gembira hari ini satu lagi penantian panjang masyarakat di Nibong Tebal akhirnya kita jawab dengan kerja,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button