
Bendera terbalik: MCA Perak ambil tanggungjawab, kakitangan letak jawatan
IPOH – MCA Perak memohon ampun kepada Sultan Perak dan memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia berhubung insiden pemasangan Jalur Gemilang serta bendera negeri Perak secara terbalik yang tular hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Negeri MCA Perak, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, pihaknya mengambil tanggungjawab sepenuhnya dan memandang serius insiden berkenaan.
Menurutnya, kesilapan yang tidak disengajakan itu telah diperbetulkan serta-merta, manakala kakitangan yang terlibat telah menawarkan diri untuk meletakkan jawatan.
“Kesilapan ini tidak disengajakan dan tiada niat sedikit pun untuk menghina Jalur Gemilang dan bendera negeri Perak.
“Sebaik sahaja kesilapan itu disedari, kedua-dua bendera berkenaan telah diturunkan serta-merta dan dikibarkan semula dengan betul,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kejadian berlaku pada pagi tadi apabila seorang kakitangan Ibu Pejabat MCA Negeri Perak yang telah berusia ditugaskan memasang dan memacakkan Jalur Gemilang serta bendera negeri Perak sempena sambutan Bulan Kemerdekaan.
Dalam pada itu, Hang Soon berkata, pihaknya mengesahkan pegawai polis dari Balai Polis Ipoh hadir ke ibu pejabat MCA Perak kira-kira jam 1 petang tadi bagi menjalankan siasatan dan merakam percakapan kakitangan terbabit serta pegawai pentadbiran.
“MCA Perak telah dan akan terus memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis.
“Kakitangan terbabit melahirkan rasa kesal dengan kejadian tersebut dan secara sukarela menawarkan diri untuk meletakkan jawatan.
“Ibu Pejabat MCA Negeri Perak menerima keputusan itu atas dasar menghormati keputusan peribadi beliau,” katanya.
Menurutnya, kakitangan terbabit telah berkhidmat dengan penuh dedikasi selama bertahun-tahun dan segala urusan berkaitan beliau susulan perkara itu akan diuruskan dengan sewajarnya.
MCA Perak turut menegaskan bahawa pihaknya kesal dengan kesilapan berkenaan dan mengambil serius sensitiviti berkaitan pemasangan Jalur Gemilang serta bendera negeri.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








